Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai seorang ustazah mengatakan seorang suami itu ‘dayus’ apabila membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi.

Kenyataan itu mencetuskan perdebatan ramai kerana masing-masing tidak bersetuju dengan ustazah berkenaan termasuklah suaminya yang berkata perkara yang sama. Mana tidaknya tidak semua ibu bersalin bernasib baik disambut oleh doktor perempuan terutama di hospital kerajaan.

Susulan daripada itu, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus sekali lagi tampil memberi penjelasan mengenai isu tersebut ketika hadir memberi ceramah di sebuah masjid.

Menerusi video dimuat naik di laman TikTok, beliau mengatakan pada asalnya para wanita perlulah berubat dengan golongan sejantina sahaja.

“Dengar baik-baik, hukumnya asal perempuan itu berubat dengan perempuan. Lelaki berubat dengan lelaki kerana masalah aurat. Perempuan sesama perempuan, haram melihat tetapi lebih berat jika berlainan jantina,” ujar beliau.

Walaupun begitu, berbeza hukumnya jika seseorang itu berdepan dengan situasi getir terutama melibatkan nyawa.

“Barangsiapa yang masuk kepada situasi yang tidak boleh membuat pilihan, bukan sengajat dan tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa.

Keadaaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh,” jelasnya lagi.

Tambahnya, seseorang suami itu tidak dayus seperti yang diperkatakan sebelum ini sekiranya tiada pilihan lain sewaktu isteri hendak melahirkan anak.

“Jika berkait dengan nyawa, iaitu ibu dan anak dalam kandungan, maka oleh kerana tidak ada doktor perempuan, makan tidak berdosa doktor lelaki menyambut kelahiran. Kenapa pergi cakap suami dayu pula? Tak haram,” terang Ustaz Azhar Idrus.

Tambahnya lagi, hukum ‘haram’ jatuh apabila adanya doktor perempuan tetapi si suami tetap menginginkan doktor lelaki menyambut kelahiran anaknya.

Ustaz Azhar juga berkata, hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bagi wanita Muslim adalah harus kerana tidak mempunyai pilihan terutamanya kepada mereka yang tidak mampu menghantar isteri bersalin di hospital swasta.

Sumber: Ohmymedia

 

Share.

Leave A Reply