Ujian Besar, Saham Besar | Assalamualaikum untuk pembaca sekalian. Terima kasih admin sekiranya menyiarkan cerita aku yang tak seberapa. Sedikit perkenalan, nama aku Miz. Berumur awal 30-an. Dulu aku selalu tak bersyukur. Kufur nikmat yang Allah bagi. Masih rasa tak cukup walaupun Allah bagi aku keluarga yang hormat sesama sendiri walaupun adakalanya tak begitu memahami.

Seorang suami yang sama-sama bantu menjaga dan membesarkan anak, 4 orang
anak-anak yang cukup sifat fizikalnya, dan pekerjaan dalam bidang
profesional kesihatan.

Tapi, dah namanya manusia.. Masih lagi rasa tak bersyukur. Ada saja
kemahuan dan keinginan baru terutamanya bila kita lihat kekayaan dan
kesenangan orang lain.

Alhamdulillah, semuanya berubah sedikit demi sedikit selepas Allah beri
beberapa ujian yang aku tak pernah duga. Allah uji dengan seorang anak
yang cukup comel dan cukup sifatnya.

Tatkala aku sedang sibuk berhempas pulas bekerja di hospital dengan
oncall hampir setiap/ selang hari berturut-turut, anak ke 2 aku (Abang
A) mula menampakkan ciri-ciri penyakit atau keadaan yang paling aku
takut zaman aku sebagai pelajar perubatan satu ketika dulu iaitu AUTISM.

Autism bukanlah penyakit berjangkit, apa ntah lagi penyakit gila. Bukan.
Autism spectrum disorder adalah keadaan dimana anak tersebut mempunyai
pelbagai sindrom yang disebabkan oleh masalah perkembangan otak dan saraf.

Dalam bahasa pasarnya anak2 autism mempunyai banyak isu perkembangan
dari pelbagai aspek disebabkan saraf dan otaknya berbeza dari
kanak-kanak normal biasa.

Or the simplest explaination is Their brain are ‘wired’ differently.
Bukan macam kita. Mereka adalah golongan-golongan special.

Puncanya? Wallahualam. Ada banyak teori berkenaan punca autism tapi tak
semua pakar kanak-kanak bersependapat. Aku mula sedar bila anak aku
tidak boleh duduk sendiri tanpa bantuan pada umur 10 bulan..

Dudukkan je jatuh terlungkup ke depan.. dudukkan lagi, jatuh terlentang
ke belakang. Tapi dah nama pun mak kan..aku masih denial sebab orang
sekeliling aku selalu kata ‘tak apa.. anak lelaki memang selalu
lambat..’ Tapi disudut hati kecil aku, aku tau anak aku bermasalah.

Masuk umur setahun, anak aku masih tak boleh berdiri tanpa bantuan..
mesti akan jatuh.. aku ketap bibir.. tu belum lagi cerita bab makan..
kemam je dalam mulut.. langsung tak kunyah.. tak telan..

Aku terpaksa blend makanan dia sampai umur 4 tahun lebih.. semata-mata
nak kan anak aku dapat cukup protein, serat, mineral dan lain-lain.

Berbalik pada keadaan semasa anak aku berumur setahun 2 bulan.. Hati aku
makin remuk bila dia tiba2 tidak mahu bertentang mata lebih 3 saat (no
eye contact), tidak suka dibelai, dipeluk, dicium seakan-akan ada
sesuatu yang betul-betul mengganggu dan buat dia tak selesa bila disentuh.

Hati aku lagi berkecamuk bila tiada lagi berbalas senyuman dari abang A
(no social smiling), tiada lagi suara abg A sebut dadada mamama (speech
regression).

Abang A hanya diam, ketawa dan menangis sahaja. Bila excited, Abang A
akan mengibas-ngibas tangan seperti anak burung yang baru belajar
terbang, atau mengetuk-ngetuk tapak tangan di depan kedua-dua mata.

Aahhh sudah… abang A ada hampir kesemua ciri-ciri yang pernah aku baca
dalam buku teks suatu ketika dulu..

Perasaan bercampur aduk antara sedih sayu sayang kesian dan kecewa bila
tengok orang sekeliling ketawakan abang A bila dia cuba berjalan sambil
memegang sebiji bola pada umurnya setahun 6 bulan.

Malangnya Abang A jatuh dengan muka terhentak ke lantai dengan tangan
masih kemas memegang bola tanpa sebarang tindak balas spontan untuk
melepaskan bola dan menahan badan menggunakan tangan.

Pada mata kasar keadaan tersebut mungkin kelakar walaupun Abang A
menjerit menangis sekuat hati disebabkan sakit.

Tapi pada pandangan seorang ibu yang melahirkan Abang A, keadaan
tersebut sangat menyayat hati melihat anak yang kesakitan dek kerana
masih tidak boleh berjalan dan tiada tindak balas badan yang normal pada
umur setahun 6 bulan..

Dek kerana tekanan dan ingin tumpukan perhatian lebih untuk anak-anak,
aku nekad untuk kuburkan azam aku untuk sambung belajar dalam bidang
kecemasan dan trauma. Cita-cita untuk menjadi seorang ED physician aku
campak jauh2 semata-mata untuk anak tersayang.

Walaupun aku bukanlah ibu yang sempurna, selalu juga tewas dengan
tekanan hidup sehingga bergaduh dengan orang tersayang, aku masih cuba
untuk ubah haluan hidup yang aku impi-impikan demi anak-anak aku yang
tersayang.

Banyak sangat dugaan membesarkan ahli syurga kecil ni. Contohnya, masih
perlu didukung bila berada di luar semata-mata dia terlalu sensitif pada
permukaan sekeliling dan orang ramai. Tidak boleh berjalan dikawasan
rumput kerana mungkin ‘sakit’nya bagai berjalan di atas paku.

Menangis, menangis dan menangis kerana tidak boleh menyuarakan apa yang
terbuku dihati. Tidak boleh gosok gigi kerana berus gigi ibarat berus
jarum padanya.

Tidak boleh kunyah ayam/ nasi/ roti kerana ketidakupayaan dia mengunyah
dan mungkin sebab tekstur makanan yang tidak serasi dimulutnya. Tidak
boleh itu tidak boleh ini. Macam-macam lagi dugaan. Itu belum masuk lagi
bab komunikasi.

Bab di-reject sekolah/ nursery gara-gara keadaannya yang masih
berpampers. Dugaan-dugaan itulah yang membuatkan aku sering hilang sabar
dan melepaskan kemarahan kepada Abang A dan juga kakaknya (Kakak Z)

Kakak Z juga kurang mendapat perhatian dari aku kerana terpaksa beri
lebih perhatian kepada adiknya. Kerap juga kakak Z meluahkan isi hati
bila tidak dapat tidur ditepuk ibu dan sebagainya.

Alhamdulillah, berkat aku dan suami gigih bawa anak pergi terapi di
hospital kerajaan dan pusat2 terapi di swasta, bergilir-gilir cuti,
tebalkan muka minta cuti dengan boss banyak kali, abang A dah mula
tunjukkan perkembangan positif.

Boleh bercakap walaupun sangat limited komunikasi 2 halanya, suka
mengulang-ulang perkataan (echolalia), dah boleh makan nasi walaupun
ayamnya aku dan suami gunting-gunting sehalus yang boleh dan mengambil
masa hampir 1 jam untuk 1 kali makan,

Dah boleh main lari-lari dengan adik-adiknya, masih lagi kadang-kadang
berada dialamnya sendiri walau tak sekerap dulu, itu pun dah cukup
bersyukur sangat.

Dan yang paling membuatkan aku rasa berbaloi dengan semua pengorbanan
aku adalah Abang A dah boleh panggil aku ‘ibu’… satu perkataan yang
ringkas tapi cukup bermakna.

Aku harap pembaca akan lebih cakna tentang isu orang yang bekeperluan
khas. Tak kiralah kanak-kanak, dewasa, autism, hyperactive (ADHD), dan
sebagainya.

Kanak-kanak autism juga tidak semuanya sama. Ada yang Allah bagi
kelebihan bijak akalnya tetapi tidak boleh berkomunikasi melalui lisan..

Luaran nampak seperti bisu, tetapi bila disuruh tulis/ menaip,
masyaAllah hebat susun atur ayatnya malah lebih bermakna dan berfakta
dari percakapan kita.

Ada yang nampak seperti tidak faham apa-apa tapi mampu meluahkan
segala-galanya melalui lukisan dan pelbagai hasil seni lain.

Tetapi ada juga yang allah beri ujian kepada ibu bapanya lebih kuat
dimana anak-anak autism mereka juga mengalami hyperactive yang dasyat,
kemurungan yang teruk bila masuk alam persekolahan, atau autis tahap
teruk dan mempunyai IQ yang rendah.

Itu belum cerita bab anak-anak autism ber IQ rendah yang mengalami
masalah s3ksual bila meningkat remaja. Sangat besar dugaan-dugaan itu semua.

Akhir kata, untuk ibubapa yang sekasut dengan saya, kuatkanlah semangat.
Percayalah Allah beri ujian setimpal dengan kekuatan kita. Itu semua
saham besar yang allah bagi pada kita. Sama ada kita nak sia-siakan atau
kita terus labur saham syurga tersebut dengan jayanya.

Bagi yang tidak tahu mengenai autism atau mungkin masalah seseorang,
jangan lah cepat menunding jari dengan mengatakan anak ini dilahirkan
sebegini kerana kesilapan lampau ibubapanya.

Anak-anak nabi kita dahulu ada juga yang berperangai teruk, adakah
disebabkan kesalahan nabi juga?

Tak.. tapi sebenarnya Allah juga tengah menduga kamu sama ada kamu
bercakap menggunakan akal atau hanya bercakap/ menegur anak seseorang
hanya mengunakan lutut tanpa fikir perasaan anak-anak syurga/ perasaan
keluarganya.

Allah juga sedang menduga sama ada kita boleh bersabar atau tidak dengan
adanya anak-anak kenalan kita yang begini.

Lebih baik diam dari berkata sesuatu tanpa berfikir panjang.

Terima kasih kerana sudi baca penulisan yang tak seberapa. Semoga Allah
limpahkan rezeki halal, kesabaran yang tinggi dan kesenangan didunia dan
akhirat untuk pembaca semua. Aamiin.

– Miz (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply