Ultras Malaya Mendonia. Itulah ungkapan spontan daripada netizen Malaysia selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memuji Ultras Malaya di laman Twitter mereka.

Ultras Malaya. Dulu Dihina, Sekarang Dijulang!

Walaupun Malaysia tewas dan diejek oleh penyokong Thailand dengan lagu “Bye Bye Malaysia”, mereka membalas dengan chanting “Sawadekap Thailand” yang mendapat respon positif bukan sahaja daripada pemain skuad Gajah Perang malahan dunia.

Mungkin ramai yang tidak sedar, sejak kewujudan Ultras Malaya pada 2007, ia satu revolusi pencetus perubahan dalam industri bola sepak Malaysia. Ia menjadi tonik kepada skuad Harimau Malaya yang pernah menghuni ranking ke-178 dunia (15 Mac 2018) walaupun ramai pihak menyifatkan mereka mengamalkan pendekatan gengsterisme bagi memastikan sukan ini ditadbir urus dengan baik dan telus.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pasti tidak akan lupa ‘amukan’ Ultras Malaya di Stadium Shah Alam pada minit-88 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi pada 8 Septemner 2015.

Tindakan itu adalah protes terhadap kegagalan FAM memperbaiki prestasi skuad Harimau Malaya yang merosot dengan ketara sekali sehingga diaibkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 pada perlawanan sebelum menentang Arab Saudi.

Kesan tindakan `Ekor Harimau Malaya’ itu menampakkan sedikit peningkatan apabila ranking FIFA Malaysia yang pada tahun itu berada di kedudukan ke-170 meningkat kepada ke-161 pada tahun 2016.

Namun, ianya tidak dapat diteruskan apabila skuad negara kembali terperosok ke tempat ke-174 (2017) dan ke-178 (2018).

Ultras Malaya. Dulu Dihina, Sekarang Dijulang!

Transformasi pentadbiran FAM hanya dapat dijelmakan selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjaya menembusi ‘tembok’ legasi kepimpinan atasan FAM pada tahun 2017.

Maka bermulalah era kebangkitan sebenar bola sepak Malaysia sehingga Malaysia kini berada pada ranking ke-143, hasil daripada transformasi yang dibawa oleh TMJ dengan kerjasama Ultras Malaya sebagai antara pemegang taruh dominan.

Ultras Malaya yang lahir dari prestasi memalukan skuad negara dalam kempen Piala Asia Kuala Lumpur 2007 mengambil inisiatif untuk menarik kembali minat penyokong ke stadium melalui ruangan forum di laman web HarimauMalaya.com (HMC).

Kegagalan skuad kebangsaan yang terus merundum sejak 2003, turut memberi impak besar kepada Liga Malaysia yang menyaksikan kebanyakan venue hampir kosong.

Pertandingan Pesta Bola Merdeka 2007 menjadi pentas sulung penampilan Ultras Malaya dengan keahlian beberapa penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Antarabangsa (IPBA) di Bangsar dan ahli HMC dari setiap negeri.

Malangnya, kehadiran Ultras disambut dengan balingan botol air mineral oleh penonton di stadium atas alasan terlalu bising dengan chanting mereka.

Namun ini tidak mematahkan semangat mereka untuk mencapai matlamat memastikan skuad negara mempunyai sokongan padu pada setiap perlawanan dengan `chanting’ yang lantang sambil dialuni dengan paluan drum dan `snare’.

Ideologi baru diterapkan untuk membezakan antara peminat, penonton dan penyokong. Peminat dan penonton akan memaki hamun pemain di kala mereka tewas tapi penyokong akan terus mempertahankan pasukan dan pasti hadir menunaikan kewajipan mereka pada setiap perlawanan bukan hanya ketika skuad Harimau Malaya beraksi di perlawanan akhir sahaja.

Ultras Malaya. Dulu Dihina, Sekarang Dijulang!

Untuk memastikan misi ini berjaya, Ultras Malaya menubuhkan sub-group di setiap negeri dan kelab yang bertanding di Liga Malaysia. Pada pertengahan 2008, sebanyak 15 sub-group Ultras berjaya ditubuhkan.

Ultras Malaya dijenamakan semula pada tahun 2010 dengan gelaran UM’07 bagi memperhebatkan budaya Ultras sehingga mereka menjadi lebih menonjol dan berpengaruh daripada kelab-kelab penyokong yang semakin suram.

Selepas hampir 16 tahun penubuhan, revolusi UM’07 sudah memasuki generasi ketiga, di mana beberapa bekas ahli lama sudah merasai tidur di lokap, ditahan polis untuk soal siasat, dihina sebagai penagih dadah, dituduh pemuda yang tiada masa depan hanya kerana mereka sayangkan bola sepak dan berjuang atas nama Ultras. Dari keahlian kurang daripada 20 orang UM’07, kini sudah mempunyai lebih 50,000 ahli seluruh negara.

UM’07 kini menjadi fenomena pujaan anak muda dan mendapat pengiktaran bukan saja daripada media antarabangsa malahan juga jurulatih pasukan tempatan sebagai tunjang membakar semangat pemain malahan penyokong sendiri.

UM’07 dikenali dalam dunia Ultras dan dapat menarik perhatian YouTuber antarabangsa yang menyifatkan chanting ‘berhantu’ dan tifo kreatif mereka di Stadium Nasional sebagai `world class’.

Kini, penyokong bola sepak akan merungut suasana stadium menjadi amat suram tanpa kelibat kumpulan Ultras. Kehadiran mereka sering ditagih, tiada lagi gelaran penganas atau kaki bising.

Terima kasih, Ultras Malaya. Teruskan perjuangan. `Until The Last Rebel’.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply