PADA minggu lalu, sebuah restoran mamak di Klang, Selangor didakwa gagal mengekalkan tahap kebersihan makanan apabila dilihat menyediakan bahan masakan di atas jalan tar di belakang kedai.
Tindakan pekerja dipercayai tukang masak yang menggaul adunan ayam di situ mengundang rasa jijik warganet apabila menggunakan bekas masakan kotor selain menyediakan makanan di kawasan yang tidak sesuai.
Terbaharu, kedai mamak sekali lagi menjadi bualan masyarakat selepas satu video tular memaparkan seorang lelaki sedang menikmati makanan terkejut terjumpa ulat dalam juadahnya.
Insiden menggelikan itu dimuat naik oleh Aqil1 melalui akaun Tiktoknya.
“Mamak lagi. Sapa yang tahu, tahu la kedai ini. Nak termuntah,” tulisnya.
Dalam video tersebut, lelaki (perakam) berkenaan menunjukkan sepotong ayam dalam mee goreng yang dipesan oleh rakannya dikerumuni ulat.
“Apa benda s**l ini, eeee habis sudah makan tadi. Ini dekat M****h. Aku dah makan tadi,” katanya.
Lelaki tersebut kemudiannya memanggil pelayan restoran makanan dan menunjukkan keadaan makanan yang berulat itu.
“Ini kau nak aku buat apa ini? Banyak ulat ini, kalau nak bagi orang makan pun elok-elok la. Ini kau nak nak buat b**i makan ke?,” katanya.
Namun, pekerja restoran tersebut seolah-olah tidak mahu mengaku kesalahan mereka dan mengatakan ayam tersebut baru sahaja digoreng serta dipotong.
“Baru ini, baru potong,” katanya.
Isu kebersihan kedai mamak ini seolah-olah sudah menjadi berita sensasi sejak kebelakangan ini.
Manakan tidak, sebelum ini juga media melaporkan kejadian seorang pelanggan berdepan dengan situasi meloyakan apabila seekor tikus menjamah hidangan ayam yang tersedia di kedai makan.
Namun tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku dan pihak media juga sudah cuba menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan.
Hasil pemerhatian juga video tersebut sudah dipadamkan oleh individu berkenaan.
Sumber: Majoriti
Baca Juga: Lapan Premis Makanan Diarah Tutup, Temui Najis Tikus, Lipas
Sebanyak lapan premis makanan diarahkan tutup berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus dan lipas dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam yang dijalankan baru-baru ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, pemeriksaan itu dijalankan Jabatan Kesihatan Persekitaran.
Menurut beliau, kesemua premis terbabit diarahkan ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“MPKS mengarahkan pemilik premis melakukan pembersihan segera secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Rahilah memberitahu, pemeriksaan mengejut yang dijalankan MPKS bertujuan memastikan premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk dikunjungi pelanggan.
Justeru katanya, pemeriksaan dan operasi seperti itu akan diperluaskan lagi untuk tahun seterusnya bagi mengekalkan tahap kebersihan yang baik terhadap pengusaha–pengusaha premis makanan.
Dalam pada itu, Rahilah berkata, Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam itu dijalankan mulai Mei hingga Oktober lalu dengan menyasarkan semua premis makanan di daerah ini.
Dalam pada itu, Rahilah berkata, Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam itu dijalankan mulai Mei hingga Oktober lalu dengan menyasarkan semua premis makanan di daerah ini.
“Kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007 di bawah bidang kuasa MPKS.
“Manakala Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM),” ujar beliau.
Sumber: KMN