(VIDEO) Pemuda Batal Hasrat Riadah,’Kutip’ 10kg Sampah. | Pada mulanya, seorang juruteknik pergi ke kawasan Air Terjun Janda Mandi di Bukit Kijal untuk beriadah. Namun, niatnya terbatal selepas melihat banyak sampah sarap di kawasan tersebut.

(VIDEO) Pemuda Batal Hasrat Riadah,'Kutip' 10kg Sampah.

Menerusi laman Sinar Harian, Muhamad Hafizi Tajudin berumur 27 tahun telah pergi ke kawasan air terjun itu bersama temannya, Nuralia Faziera Mohamad.

Muhamad Hafizi dan rakannya telah membatalkan niat mereka untuk beriadah setelah melihat timbunan sampah sarap di kawasan air terjun itu. Mereka memutuskan untuk membersihkan kawasan tersebut dengan mengutip dan membawa longgokan sampah yang ditinggalkan di sepanjang laluan pendakian ke tempat pembuangan sampah.

“Mula-mula kutip satu sahaja botol minuman yang dibuang merata-rata sebelum terjumpa longgokan sampah sarap di dalam plastik hitam yang sudah seminggu ditinggalkan.”

“Saya terus batalkan niat untuk mendaki sebaliknya berusaha membawa turun sampah yang ditinggalkan untuk dimasukkan ke dalam tong sampah utama di pintu masuk kawasan berkenaan.”

Muhamad Hafizi berasa lega dan mengatakan penatnya hilang walaupun perlu memikul 10 kilogram bebanan sampah selepas melihat kawasan pendakian itu bersih dari sampah sarap. Dia mengambil masa selama 40 minit untuk membawa turun sampah tersebut kerana perlu melalui laluan curam dan berbukit sejauh 1 kilometer.

Antara sampah yang ditemui termasuklah botol-botol minuman, bungkusan makanan dan pelitup muka. Sampah sarap ini jika tidak terus dibuang lama kelamaan semakin bertambah dan akan mencemarkan alam sekitar.

Katanya, perkongsian yang dimuat naik itu turut dikongsi di Facebook Discovery Terengganu sehingga mendapat 1.6 juta tontonan. Dia tidak sangka perkongsian itu akan tular kerana pada mulanya, Hafizi hanya mahu berkongsi kepada rakan-rakannya.

Hafizi berharap perkongsian itu dapat memberi kesedaran dan menyuntik kesedaran sivik kepada semua yang menonton. Semoga selepas ini, rakyat Malaysia akan lebih berhati-hati dan memupuk semangat sayang alam sekitar. Dia juga berharap agar semua dapat bersama-sama menajaga kebersihan alam sekitar.

Sumber: Oh Media ,  Discovery Terengganu , Sinar Harian

Share.

Leave A Reply