‘Viral’ Kanak-kanak Main Dengan Cicak Tokek Ganas  | Netizen keliru menonton satu klip video di laman TikTok yang menunjukkan tiga kanak-kanak warga asing bermain dengan cicak tokek iaitu sejenis reptilia agresif paling digeruni oleh penduduk Thailand, lapor portal berita Thaiger.

Cicak tokek tidak berbisa tetapi boleh bertindak agresif, manakala tempat terkena gigitannya akan mengalami pendarahan. Haiwan itu akan mengunci rahang apabila menggigit dan tidak akan melepaskan gigitannya.

Dalam klip video itu, tiga kanak-kanak berkenaan dilihat sedang duduk di atas lantai sambil bergilir-gilir memegang dan membelai cicak tokek seolah-olah ia haiwan peliharaan.

Haiwan yang ditunjukkan dalam klip video tersebut pula jinak dan tidak melawan apabila kanak-kanak tersebut mengambil dan bermain dengannya.

Pengguna TikTok @cupisdlove menyiarkan video itu Rabu lalu bersama keterangan gambar: “Saya berjalan melintasi mereka ketika pergi ke kedai serbaneka dan menyangka cicak tokek itu adalah mainan getah. Saya melihatnya semula dan menyedari ia hidup!

Video itu mendapat lebih 126,000 tanda suka, lebih 3,000 komen dan lebih 8,000 perkongsian di Tiktok.

Netizen Thailand menyatakan rasa kagum mereka berhubung situasi tersebut, manakala ramai juga bimbang cicak tokek itu akan memberikan gigitan yang berbahaya.

Seorang netizen menulis: “Saya terkejut kerana ia tidak kelihatan marah atau cuba menggigit”.

Di Thailand, sebanyak 19 spesies cicak tokek dilindungi oleh Akta Pemuliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar.

Sesiapa yang memburu atau memperdagangkan cicak tersebut boleh dihukum penjara empat tahun, denda sehingga 40,000 baht (RM5,089) atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Kosmo

 

Artikel Lain

Tidak Berbisa & Bahaya, Ball Python Ular Peliharaan Yang Senang Dijaga!

Tidak Berbisa & Bahaya, Ball Python Ular Peliharaan Yang Senang Dijaga! Peminat haiwan eksotik boleh membela ball python kerana ia merupakan haiwan yang penakut walaupun tampak ganas di luaran! Baca seterusnya.

KELIHATAN seperti reptilia ganas kerana warnanya seperti ular sawa batik yang sinonim dengan sifat liarnya untuk menyerang manusia. Hakikatnya, ular ball python adalah haiwan yang penakut!

Justeru, ia sering dijadikan haiwan peliharaan dalam kalangan peminat haiwan eksotik memandangkan ciri-cirinya yang tidak begitu besar pada usia sudah matang dan lebih mesra dengan pemilik.

Ular ball python mempunyai sifat untuk membentuk seperti sebiji bola sekiranya berasa terancam dan mungkin disebabkan itu, ia dinamakan sebagai ball python.

Kebiasaannya ditemui secara liar di barat Afrika dan ular ini boleh memiliki panjang 1.5 meter bagi betina dewasa dan satu meter bagi jantan dewasa.

Haiwan ini juga mempunyai jangka hayat yang lama iaitu lebih 40 tahun jika dipelihara dengan baik. Selain itu, penjagaannya juga tidak begitu sukar memandangkan ia hanya memerlukan makan seminggu sekali dengan kebiasaannya tikus menjadi hidangan utama.

Bagi peminat ball python tempatan, Muhammad Abdullah Affan Osman, dia memiliki haiwan itu sejak tahun lalu kerana terpesona dengan kejinakkannya dan berasakan begitu serasi.

Katanya, ball python pertama dibeli pada RM500 yang dinamakan Rio. Haiwan kesayangan milik lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai genetik Het Pied.

Jelasnya, Rio adalah ular ball python jantan yang dilahirkan pada 10 Oktober tahun lalu. Bagi memiliki haiwan itu, dia perlu mendapatkan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Pada mulanya, saya ingin membeli cicak geckoo sebagai haiwan peliharaan, tetapi apabila tiba di kedai menjual haiwan dan diberi peluang untuk memegangnya, saya berasa begitu tertarik dengan ball python.

“Namun, saya tidak terus membelinya kerana perlu membuat penelitian mengenainya terlebih dahulu. Bagi saya pengetahuan untuk menjaganya adalah perkara paling penting,” katanya.

Tidak sampai dua bulan membeli Rio, dia kemudian membeli seekor lagi ular ball python betina yang dinamakan sebagai Carla pada RM1,350. Carla mempunyai genetik Leopard Het Pied.

Kemudian pada April lalu, dia membeli seekor lagi ball python betina yang dinamakan sebagai Tokio pada RM1,600. Harga Tokio lebih mahal kerana memiliki genetik unik iaitu Pastel Het Pied.

Affan berkata, menerusi pemerhatiannya, harga ular ball python lebih mahal jika mempunyai genetik yang lebih unik. Malah, dia pernah menjumpai harga ball python yang ditawarkan mencecah RM40,000 seekor.

Katanya, antara yang menarik dalam memiliki ball python ialah kerana ia berada dalam kalangan haiwan peliharaan eksotik. Sebenarnya haiwan itu tidak begitu merbahaya.

“Walaupun dari luaran haiwan ini kelihatan garang, tetapi ia adalah haiwan yang penakut dan jinak dengan pemiliknya jika tahu untuk mengendalikannya. Tambahan pula, ia tidak mempunyai bisa dan tidak menyerang manusia.

“Ular ini jika sudah matang juga tidak mempunyai saiz yang besar seperti ular sawa biasa kerana ia hanya boleh memanjang maksimum sekitar 1.5 meter,” katanya.

Katanya, untuk memeliharanya juga memakan kos operasi yang tidak tinggi kerana haiwan itu cuma perlu diberi makan seminggu sekali sahaja iaitu tikus mengikut saiz badan ular yang dimiliki.

“Ketiga-tiga ball python saya tidak dimasukkan dalam bekas yang sama kerana berpotensi untuk menyerang antara satu sama lain kecuali dalam tempoh mengawan.

“Untuk membersihkannya juga tidak begitu sukar kerana hanya ketika ular ini mengeluarkan najis. Saya amat mementingkan mengenai kebersihan tempat tinggal ball python yang dimiliki kerana jika kotor ia mudah sakit,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply