Kuala Berang: “Walaupun sudah 10 tahun berlalu, kejadian yang meragut keceriaan Nik Muhammad Faizul Izwan Nik Abdullah, 13, masih segar dalam ingatan,” kata Asmah Pik, 37.
Ini kerana keadaan anak kedua daripada tiga beradik itu kini hanya terlantar akibat lumpuh selepas terjatuh ke dalam tali air berhampiran rumah mentuanya di Kampung Alor Keladi, Besut pada 4.30 petang sekitar Jun 2014.
Asmah berkata, anaknya menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selama dua minggu sebelum dipindah ke wad biasa dan kini tulang belakang anaknya sudah membengkok berikutan terlantar terlalu lama.
Menurutnya, akibat kejadian itu doktor mengesahkan Nik Muhammad Faizul Izwan mengalami kecacatan kekal berikutan ketika kejadian anaknya kekurangan oksigen di bahagian otak.
Katanya, dia reda dengan kejadian yang berlaku dan akan menjaga anaknya sebaik mungkin selagi hayatnya.
“Izwan kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas dan terpaksa dipakaikan lampin pakai buang berikutan terlantar sejak kejadian itu.
“Walaupun sebutan masih pelat ketika (kejadian) itu, namun saya merindui sapaannya apabila memanggil saya dan ayahnya… kini suara itu tidak kedengaran akibat kejadian berkenaan.
“Sudah tiada suaranya memanggil saya seperti 10 tahun lalu dan apabila dikenangkan kembali bercucuran air mata, namun saya terima takdir ini dengan reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Machang, Ajil, dekat sini.
Mengimbas kembali kejadian, Asmah berkata, dia menyedari anaknya tiada di dalam rumah apabila melihat pintu terbuka.
Katanya, dia mencari Nik Muhammad Faizul Izwan di sekitar rumah sebelum terlihat anaknya terapung di dalam tali air berkedalaman hampir dua meter.
“Sebaik melalui tali air yang berada di hadapan rumah, saya melihat seluar berwarna merah terapung lalu saudara terdekat yang turut mencari anak saya mengangkatnya.
“Wajah anak ketika itu sudah kebiruan dan kami membawanya ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia lapan dan 16 tahun.
Asmah berkata, Izwan menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain elaun RM150 sebagai pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Menurutnya, mereka turut menerima bantuan susu khas dan lampin pakai buang daripada Tabung Darul Iman (TDI), namun tidak mencukupi tambahan pula suami hanya petani.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150029000279463 atas nama Asmah Pik dan Nik Muhammad Faizul Izwan Nik Abdullah.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Terkandas 24 Jam Atas Bumbung, Warga Emas Lumpuh Diselamatkan
Petaling Jaya – Tindakan sebuah badan sukarelawan, skuad pemuda Lejas membantu menurunkan dua mangsa banjir yang lumpuh menggunakan kerusi roda dari bumbung surau di Taman Sri Nanding, Shah Alam semalam meruntun hati orang ramai.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 24 saat yang dikongsikan pemilik akaun media sosial, Khairulnizam1881, dia dan rakan-rakannya terdengar jeritan orang meminta tolong untuk menurunkan dua penduduk yang lumpuh dari atas bumbung semasa melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
Namun begitu, Khairulnizam berkata, mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita warga emas itu sudah 24 jam berada di atas bumbung menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat.
“Pakcik itu kelihatan sudah hilang semangat sebelum kami mahu menurunkan beliau,” kata Khairulnizam.
Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai merasa terharu dan berterima kasih atas tindakan orang ramai termasuk sukarelawan yang membantu mangsa banjir.
“Alhamdulilah selamat semuanya. Sahabat yang membantu mangsa banjir kamu memang terbaik dan jasa kamu semua Allah akan membalasnya, Amin,” kata @shamrony80.
“Ya Allah Ya Tuhanku, permudahkan segala urusan dan lindungilah mangsa banjir di bumi Malaysia,” kata @nuri_smile11.
“Terima kasih semua yang telah membantu, hanya Allah yang dapat membalasnya. Semoga pahala sebesar-besarnya dan syurga buat kalian,” ujar @sha_300.
Sumber : KMN