Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 8.0 arah pulau menghala ke Perai, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 22 tahun dikatakan telah meninggalkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna jingga bersama barangan peribadi di tepi tembok jambatan sebelum terjun ke dalam laut.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.39 pagi tadi.
Jelasnya, mangsa telah meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Axia bersama barangan peribadi di dalam kenderaan tersebut.
Ujarnya dalam satu kenyataan, tindakan anggota bomba membuat pemantauan dari atas jambatan untuk mengesan kedudukan mangsa namun dikhuatiri telah dihanyutkan oleh arus.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara dan disambung semula pagi ini.
Kejadian itu merupakan kejadian kedua dalam tempoh 12 jam apabila sebelum itu seorang wanita berusia 27 tahun turut terjun dari Jambatan Pulau Pinang di kilometer 7.4 dari arah pulau menghala ke Perai kira-kira jam 2.40 petang semalam.
Bagaimanapun, wanita itu berjaya diselamatkan oleh nelayan pantai yang berada berdekatan.
Minggu lepas mayat pemuda berusia 28 tahun yang terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang ditemui selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Mayat lelaki itu ditemui terapung berhampiran perairan Pulau Rimau oleh nelayan tempatan sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
Sumber: Astro Awani