Johor Bahru: Warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual dan cuba menghasilkan bahan pornografi kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.
Goh Heng Hong, 67, yang masih bujang dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai kelindan van sekolah didakwa dalam persediaan untuk menghasilkan suatu bahan pornografi kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun.
Perbuatan dilakukan di dalam van sekolah antara Mac hingga Julai 2019, di daerah ini dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan tidak kurang lima sebatan, jika sabit kesalahan.
Goh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan sama dengan menyentuh paha dan dada kanak-kanak itu di dalam van sekolah antara Mei hingga Jun 2019.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta 792 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pendakwaan memohon mahkamah tidak memberikan ikat jamin mengambil kira tertuduh masih bekerja sebagai kelindan van sekolah di laluan sama dengan mangsa.
Namun, Danial menawarkan jaminan RM35,000 ditawarkan bagi setiap pertuduhan jika mahkamah membenarkan ikat jamin.
Tertuduh merayu diberi jaminan yang dikurangkan kepada RM1,000, sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Ahmad Kamal Arifin juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu mangsa dan keluarga.
Kes disebut semula pada 25 Januari tahun depan.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Pelajar Kolej Dituduh Lakukan Amang Seksual Pada Budak 11 Tahun
Melaka: Pelajar tahun akhir sebuah kolej dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Adib Hishammuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, dia yang sedang mengikuti jurusan elektrik didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Taman 1 Bukit Beruang antara jam 4 petang hingga 9 malam, 14 November lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap kanak-kanak sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan bersebelahan Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 20 November lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mengikuti latihan di Perak itu dikatakan mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan mangsa dan semua saksi tidak boleh diganggu sehingga perbicaraan selesai.
Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh sedang belajar dalam semester akhir.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Tarikh 11 Januari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sumber: KMN