KUALA LUMPUR – Lelaki warga emas yang juga suspek kes pembuli jalan raya yang tular memegang batu bata di persimpangan lampu isyarat Jalan Metro 1, Metro Prima, Kepong, di sini, bulan lalu telah ditahan.
Lelaki berusia 63 tahun berkenaan ditahan ketika datang membuat laporan mengenai insiden tular itu di Balai Polis Sentul pada pukul 3 petang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Heisham Harun berkata, semakan rekod dilakukan terhadap suspek mendapati dia yang bekerja sebagai pemandu van mempunyai empat rekod jenayah.
Menurut Heisham, pihaknya terdahulu menerima satu laporan daripada seorang ejen hartanah lelaki yang juga mangsa kejadian itu pada pukul 2.20 petang, semalam.
@utusantvofficial Trigger Warning! Suspek berusia 63 tahun ditahan polis pada pukul 3 petang tadi, 25/1/23. #beritaditiktok #fyp #trendingnewsmalaysia #wargaemas
“Ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta Perodua Bezza di Jalan Metro Prima dan terdapat sebuah lori yang menghalang laluan.
“Ekoran itu, sebuah kereta yang berada di belakang keretanya kemudian membunyikan hon dan memaksa mangsa meneruskan pemanduan.
“Namun, suspek memaki hamun mangsa menggunakan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya mengangkat tangan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
“Sehubungan itu, suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Terdahulu, tular video mengenai Insiden tersebut apabila seorang lelaki memegang batu bata dana mengetuknya pada cermin sebuah kereta di sebuah lampu isyarat.
Video berdurasi 28 saat yang dimuat naik di media sosial telah tular dan mendapat perhatian orang ramai.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Lelaki Berlagak Samseng Akhirnya Diberkas Polis.
Tindakan seorang lelaki memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2, di sini membawa padah apabila suspek diberkas pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu yang bekerja sebagai pemandu van ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di tepi jalan Sungai Penchala di sini.
“Suspek yang berumur 31 tahun itu ditahan pada jam 3.20 petang bagi siasatan berkaitan tindakannya menerusi satu video yang tular pada Jumaat.
“Suspek direman tiga hari bagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Jumaat, seorang pemandu kereta berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2, di sini.
Kejadian tersebut telah dikesan melalui satu video tular berdurasi dua minit 20 saat di aplikasi Twitter yang memaparkan tindakan lelaki terbabit.
Suspek turut mengeluarkan sebatang rotan panjang dari kenderaannya ketika kejadian.
“Dalam video itu memaparkan tindakan pemandu yang berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah jalan dan mengeluarkan kayu panjang.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesahkan kejadian itu berlaku di Jalan SS 8/2, di sini, semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama mangsa kejadian untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber: KMN