Warga Emas Hilang Dipercayai Terjun Sungai | KOTA BHARU – Seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.

Kejadian itu disedari oleh orang awam semasa melalui jambatan berkenaan apabila melihat sebuah motosikal jenis Modenas dipercayai milik Low You Kian, 65, dan sepasang selipar di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 7.28 pagi yang membuat laporan mengenai penemuan sebuah motosikal dan sepasang selipar.

Katanya, pemeriksaan di atas jambatan itu, polis turut menjumpai dompet yang mengandungi kad pengenalan mangsa ditinggalkan di bawah tempat duduk motosikal itu.

“Hasil daripada penemuan kad pengenalan itu, polis telah bergegas ke rumahnya di Jalan Hamzah di sini untuk mendapat kepastian daripada keluarga mangsa.

“Polis telah membawa isteri mangsa, Sik Saripah, 56, ke lokasi kejadian dan wanita itu telah mengesahkan bahawa barangan yang ditemui di atas jambatan itu adalah milik suaminya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Mohd. Suhaimi, polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada mangsa terjun di dalam Sungai Kelantan atau hilang di tempat lain.

Sementara itu, menurut Sik Saripah, suaminya keluar dari rumah kira-kira pukul 5 pagi tadi untuk membeli makanan selepas dia mengadu lapar dan tidak boleh tidur.

“Ketika itu, saya sedang tidur dan anak saya menyedari ayahnya keluar rumah dengan menunggang motosikal.

“Selepas dia keluar, hujan mula turun dan kami bimbang suami saya terperangkap dalam dalam hujan lebat. Saya tahu mengenai kehilangan suami apabila polis datang ke rumah pagi tadi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply