Sikap kalangan pengemis dikatakan semakin berani dan adakalanya bertindak agresif menimbulkan kebimbangan umum, apatah lagi kini semakin ramai dilihat berkeliaran di jalanan khususnya di sekitar ibu kota.
Walaupun akur pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan ramai yang ditimpa kesusahan ekoran desakan ekonomi, namun timbul persoalan mengapa aktiviti mengemis yang kebanyakannya dimonopoli warga asing dibiarkan berleluasa sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan menggugat keharmonian setempat.
Berkongsi pandangan, pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta, Vimala Arumugam, 44, berpendapat pengemis kini dilihat mempunyai cara baharu, apabila mula menggunakan elemen desakan dan paksaan ketika mendekati ‘sasaran’ sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.
Jelasnya, mereka datang ketika kita sedang makan di restoran dan ada antara mereka yang tidak akan beredar sehingga menerima wang. Kegiatan ini seolah-olah satu ‘pattern’ baharu, sedangkan kita tidak pernah terapkan perkara sebegini dalam masyarakat.
Tambahan pula, dia menyatakan, dengan COVID-19 dan kes pun semakin naik. Kita bimbang keselamatan semua pihak kerana kita tidak tahu dengan siapa mereka (pengemis) berjumpa. Jadi risiko itu ada, dan bahaya.
Petugas syarikat perundingan tempatan di Ampang, Mohd Fadli Adamsah, 36, pula mengaku cubaan beliau untuk menghulurkan bantuan berbentuk makanan pernah ditolak oleh pengemis yang sebaliknya mendesak beliau memberi bantuan wang tunai.
Ujarnya lagi, mereka seolah-olah diberi arahan untuk paksa dan menakutkan orang awam untuk mendapatkan duit. Ada juga yang sanggup menarik baju, tangan, bahkan mengugut orang awam.
Seorang peniaga kedai minuman di sekitar perkarangan Kompleks Sogo, Yong K.H, 77, pula mengakui kedainya sering dikunjungi pengemis warga asing sehinggakan adakalanya jumlah pengemis melebihi jumlah pelanggan.
Katanya, mereka datang tak tentu masa, tapi kebiasaannya antara pukul 1 petang hingga 3 petang khususnya pada hari Ahad ketika ramai orang beriadah pada hujung minggu. Kalau ada ramai orang, maka itulah lokasi tumpuan, lubuk rezeki bagi mereka.
Sumber: Astro Awani