KOTA BHARU – Seorang mudir di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya didakwa atas pertuduhan mencabul seorang pelajar pada awal bulan ini di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Kanak-kanak lelaki daripada etnik tersebut berusia 11 tahun tiga bulan.
Tertuduh, Abu Toyub Umor Abbas, 58, yang dalam keadaan menangis teresak-esak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan etnik Rohingya didakwa dengan maksud seksual telah mencabul kanak-kanak terbabit.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik di sebuah pusat tahfiz khas di Kampung Patek Talang, Kadok sekitar jam 3 pagi, pada 1 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Rozihan Othman.
Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang warga asing yang mencari suaka atau tempat berlindung di negara ini.
Dalam pada itu, Rozihan dalam rayuannya memohon ikat jamin kerana jaminan hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.
“Selain itu, tertuduh yang sudah membuka pusat tahfiz di Kadok sejak lima tahun lalu itu juga perlu menyara seorang isteri dan seorang anak.
“Sekiranya tertuduh melarikan diri, wang ikat jamin yang dibayar masih selamat di dalam jaminan pihak mahkamah. Jadi, saya pohon satu jaminan dibenarkan kepada tertuduh,” katanya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa etnik Rohingya.
Baca Juga: Lelaki Didakwa Cabul Wanita Di Dalam Tandas Masjid | Seorang wanita berkeperluan khas telah menjadi mangsa cabul seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di sebuah tandas masjid.
Kejadian yang berlaku di Jakarta, Indonesia itu menyaksikan pihak polis telah berjaya menangkap seorang lelaki bernama Maman Suhendra yang didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut terhadap seorang wanita berkeperluan khas.
Menurut Ketua Polis Daerah Cikarang Utara, Kompol Samsono menjelaskan mangsa telah dicabul di tandas Masjid Al-Maqfiro di daerah Bekasi pada minggu lalu.
Pihak polis berkata, kejadian yang menimpa wanita itu berlaku ketika dia sedang berjalan untuk membeli makanan. Tiba-tiba mangsa telah dipanggil oleh suspek yang berada di dalam tandas masjid tersebut. Mangsa kemudian menghampiri suspek ke tandas masjid dan di situ dia telah dicabul.
Jawatankuasa masjid yang mengetahui tentang perbuatan tercela ini bertindak pantas dengan menangkap suspek.
Susulan itu, wanita tersebut telah ditemani oleh ibu bapanya ke balai polis manakala suspek berusia 27 tahun itu juga segera di bawa ke balai untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa suspek mengaku telah melakukan jenayah seksual itu sebanyak dua kali terhadap mangsa.
Sumber: Oh Bulan