YB Guna Bom Tangkap Ikan, Kontraktor DEDAH Cerita Sebenar | Jerantut: “Memang saya yang lempar mercun bola ke dalam sungai, bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah seperti yang tular di media sosial sejak minggu lalu.”
Begitu kata kontraktor Mohd Rosli Awang, 44, yang menafikan dakwaan penggunaan peledak bom untuk menangkap ikan ketika mengikuti rombongan wakil rakyat berkenaan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, di sini.
Mohd Rosli berkata, dia menggunakan enam biji mercun bola dalam kejadian itu, tetapi hanya dua sahaja meletup.
Menurutnya, tiada ikan yang timbul dan mati akibat letupan mercun itu, namun ia mungkin memberi gangguan bunyi kepada individu berdekatan.
“Saya lempar mercun bola itu pun bukan untuk menangkap ikan, tetapi sekadar suka-suka sahaja.
“Perbuatan saya tidak ada kena-mengena dengan pihak lain khususnya wakil rakyat setempat yang dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling pada 15 dan 16 Julai lalu.
“Saya antara ahli rombongan terbabit bagi meninjau persiapan terakhir pelaksanaan projek jalan dan juga pembangunan sektor pelancongan di kawasan Ulu Tembeling, ” katanya.
Mohd Rosli berkata, rombongan mereka berehat dan memasang khemah di tepi Sungai Sepia berhampiran dengan kumpulan lain tidak dikenali yang dipercayai sedang memancing.
Menurutnya, wakil rakyat turut menyantuni kumpulan berkenaan, manakala dia tanpa arahan sesiapa melemparkan enam biji mercun bola ke Sungai Sepia.
“Justeru, bagi menjaga nama baik wakil rakyat itu, saya membuat laporan di Balai Polis Nilai, Negeri Sembilan, semalam bagi menafikan menggunakan bom peledak bagi mendapatkan ikan.
“Dalam hal ini wakil rakyat berkenaan langsung tidak terbabit kerana tindakan saya tidak mendapat arahan mana-mana pihak,” katanya.
Katanya, dia membawa mercun bola itu sebagai perlindungan daripada ancaman binatang buas khususnya di kawasan Ulu Tembeling.
“Saya juga sudah menyerahkan baki mercun itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut pada 17 Julai lalu dan akan diambil keterangan kelak,” katanya.
SUMBER : HM