Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin diberi penghormatan menerima dua anugerah daripada dua universiti Bangladesh atas sumbangannya dalam pemerkasaan wanita.
Universiti Teknologi Maklumat dan Sains (UITS) memberikan anugerah itu semasa lawatan rasmi menteri berkenaan ke Bangladesh yang bertujuan membuka lebih banyak pasaran bagi komoditi Malaysia.
Zuraida menerima lambang emas daripada ahli Lembaga Pemegang Amanah UITS dan pengarah urusan Keluarga PHP, Mohammed Iqbal Hossain, di sebuah hotel di Dhaka pada Jumaat.
Zuraida yang juga merupakan presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) juga mendapat anugerah “Kesaksamaan Gender (Pemerkasaan Wanita)” daripada Universiti Asia Pasifik di Dhaka.
Universiti itu menggesa kerajaan Malaysia memudahkan peluang pendidikan tinggi untuk pelajarnya dan menonjolkan kejayaan Bangladesh, bukan sahaja dalam sektor tenaga manusia, tetapi juga dalam bidang lain.
Universiti itu juga berkata menteri berkenaan menjadi contoh kepada wanita berdasarkan rekod prestasinya dalam mendukung agenda wanita.
Dalam pada itu, Zuraida berpuas hati terhadap hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara dan optimis hubungan itu dapat dipertingkatkan lagi.
Sumber : MalaysiaKini