3 Jam Selamatkan Pasangan warga Emas Terperangkap Banjir | Akhir-akhir ini kita sering mendengar mengenai kejadian banjir yang melanda negara kita berikutan hujan yang kerap turun di beberapa kawasan. Semalam satu lagi kejadian banjir kilat berlaku di Johor Bahru di mana pihak bomba berjaya menyelamatkan pasangan warga emas yang terperangkap selepas hampir 3 jam operasi menyelamat.
Johor Bahru: Pasangan suami isteri warga emas yang terperangkap akibat daripada banjir kilat yang melanda Kampung laut Batu 9 1/2 Skudai, dekat sini, petang semalam, berjaya diselamatkan pasukan bomba, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Mohd Riduan Akhyar berkata, warga emas terbabit masing-masing berusia 80 dan 70 tahun itu diselamatkan dari rumah mereka yang digenangi air, ekoran hujan yang berterusan sejak tengah hari semalam.
“Sejurus menerima panggilan pukul 4.36 petang, usaha mencari dan menyelamatkan kedua-dua mangsa dilakukan BBP Skudai dibantu sebuah jentera Fire Rescue Thunder (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kempas dengan kekuatan 14 anggota.
“Pihak bomba bertindak memindahkan kedua-dua mangsa menggunakan bot aluminium ke kawasan selamat dan mereka kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Melayu Batu 10,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat selama tiga jam itu berakhir pada jam 7.54 petang.
Sementara itu, di Taman Nusa Sentral Nusajaya, tiga lelaki berdepan dengan detik cemas apabila Proton Exora dan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terperangkap dalam banjir kilat pada 2 petang, semalam.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II BBP Iskandar Puteri, Mohd Anuar Mohd Hamzah berkata, seramai lapan anggota beserta sebuah jentera FRT digerakkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2.46 petang.
“Ketiga-tiga lelaki yang terperangkap berjaya dibawa keluar dari kenderaan mereka. Operasi menyelamat ditamatkan pada 3.31 petang,” katanya.
Sumber: Metro