Lima Sekeluarga Terperangkap Dalam Banjir Kilat Berjaya Diselamatkan | Sebuah keluarga yang tinggal di Kampung Din Bamboo, Batu Ferringhi di sini berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian banjir kilat sebelum diselamatkan anggota bomba hari ini.

Lima Sekeluarga Terperangkap Dalam Banjir Kilat Berjaya Diselamatkan

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.59 pagi itu, lima anggota keluarga berkenaan termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan setelah kawasan rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter.

Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, ketika sampai di lokasi kejadian pihaknya mendapati berlaku banjir kilat berpunca dari limpahan air sungai berhampiran rumah berkenaan.

Beliau berkata, limpahan tersebut telah menyebabkan air masuk ke dalam beberapa buah rumah dengan ketinggian satu meter.

“Anggota bomba memindahkan lima mangsa ke tempat selamat iaitu di kawasan rumah jiran mereka,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap JBPM berkata, pemantauan yang dilakukan di lokasi kejadian mendapati air semakin surut dan operasi tamat pukul 11.01 pagi ini.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir di kampung berkenaan, Rosliza Mohamad, 35, berkata, hujan lebat dalam tempoh kira-kira dua jam sejak awal pagi menyebabkan air dari sungai berhampiran kampung berkenaan melimpah dengan pantas.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah, air naik terlalu cepat.

“Nasib baik hujan tidak berpanjangan dan air mulai surut selepas pukul 11 pagi ini,” katanya.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply