Jabatan Imigresen Wujudkan Kaunter Khas Untuk PATI Pulang Ke Negara Asal | Isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini bukan lagi satu isu baharu. Masalah ini mendapat perhatian apabila ada warga asing di negara ini terutama yang berstatus pelarian bertindak tidak mengendahkan undang-undang terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi memerangi pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Jabatan Imigresen telah mewujudkan Perkhidmatan Kaunter Khas Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin pulang ke negara asal bermula, Isnin lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata program itu diadakan dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang beroperasi 24 jam sehari, di tingkat tiga lapangan terbang terbabit.
Katanya, ia bagi meningkatkan tahap kecekapan Jabatan Imigresen dalam melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang, selain memudahkan PATI tanpa perlu hadir ke pejabat Imigresen. Beliau berkata, sebelum ini pihaknya banyak menerima aduan daripada kedutaan asing membabitkan PATI yang terpaksa menunggu lama untuk berurusan dengan Imigresen melalui Sistem Temujanji Online (STO).
“Pelaksanaan kaunter khas ini akan dipanjangkan ke KLIA2 dan pintu masuk utama di lapangan terbang antarabangsa lain,” katanya selepas meninjau Kaunter Khas Rekablibrasi Pulang di Balai Ketibaan KLIA di sini, hari ini.
Dalam pada itu, yang turut hadir, Timbalan Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
PATI yang ingin menyertai program itu perlu memiliki dokumen perjalanan yang sah (pasport atau dokumen perjalanan) dan memiliki tiket pulang ke negara asal. Mereka hadir ke kaunter khas ini tanpa perlu membuat STO pada hari jadual penerbangan (sekurang-kurangnya enam jam sebelum berlepas) dan perlu membayar kompaun RM500, sama ada menggunakan kaedah kad debit, kad kredit dan Touch n’Go eWallet sahaja.
PATI juga perlu mengemukakan slip Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 yang sah laku dalam tempoh 72 jam dari tarikh penerbangan, yang boleh dijalankan di mana-mana klinik sebelum hadir di KLIA.
“Setakat hari ini, seramai 48 warga asing sudah pulang ke negara asal menggunakan perkhidmatan kaunter khas itu.
“Jabatan Imigresen menyasarkan antara 20,000 hingga 30,000 PATI akan menyertai dua program itu sehingga hujung tahun ini melalui perkhidmatan kaunter khas diperkenalkan itu, ” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, seramai 248,083 PATI sudah mendaftar dalam Program Rekalibrasi (Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja) sejak dimulakan pada Disember 2020.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 98,194 PATI sudah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang manakala 6,822 majikan dan 149,889 PATI mendaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“KDN dan Jabatan Imigresen mengingatkan semua majikan dan PATI supaya tidak menunggu sehingga saat akhir dan tidak menggunakan khidmat orang tengah atau ejen bagi urusan Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Rekalibrasi Pulang,” katanya.
Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 23 Jun lalu bersetuju melanjutkan Program Rekalibrasi (Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja) sehingga 31 Disember ini bagi membolehkan PATI yang layak digajikan semula atau pulang ke negara asal.
Sumber: Berita Harian