Bapa Kepada Enam Anak Meninggal Dunia Dua Hari Selepas Ditahan Polis. |  PETALING JAYA: Seorang buruh binaan berusia 44 tahun meninggal dunia ketika dalam tahanan di balai polis di Pekan, Pahang, 48 jam selepas ditangkap pada 8 Okt.

Menurut NGO yang mengendalikan kes itu, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Guaman Rakyat (Gegar), mangsa, Muhammad Hidayat Abdul Halim ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Koordinator Suaram Mohammad Alshatri Abdullah berkata mangsa tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.

“Ini mungkin kematian dalam tahanan ke-13 pada tahun ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tambahnya, mangsa adalah seorang bapa dengan enam anak.

Abang mangsa, Ahmad Faiz Abdul Halim berkata, Hidayat ditahan selepas didapati positif dadah.

“Isterinya Nor Nazipah melihat sebuah Pajero di luar rumah mereka pada 11 pagi, 8 Okt yang katanya adalah kenderaan narkotik dari Ibu Pejabat Polis Pekan.

“Dua lelaki memasuki rumah mangsa menerusi pintu belakang dan menahan Hidayat,” katanya dengan menambah adiknya telah digari sebelum dibawa dari situ.

Faiz berkata, pada jam 9 malam yang sama, seorang sarjan bernama Wahidi menghubungi isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya itu telah ditahan kerana positif dadah.

“Kira-kira jam 8 pagi 11 Okt, seorang anggota polis menghubunginya dan bertanya sama ada suaminya mempunyai masalah kesihatan sebelum memaklumkan beliau telah meninggal dunia.

“Nor Nazipah ditanya soalan itu sekali lagi pada kira-kira jam 2 petang yang sama, dan pada 10.55 malam telah minta hadir ke balai untuk memberi kenyataan.”

Katanya, Nor Nazipah kemudian dipanggil ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, pada 12 Okt untuk menemui Ketua Jabatan Forensik Dr Sri Marni Zainal Abidin supaya dapat diberikan penjelasan mengenai punca kematian suaminya.

“Doktor memaklumkan ada lebam pada paha mangsa, namun itu tiada kaitan dengan kematiannya.”

“Beliau dimaklumkan, suaminya meninggal dunia akibat strok.”

Peguam mangsa, Syazwani Mansor berkata, waktu mangsa meninggal dunia juga tidak dinyatakan dalam sijil kematian.

Pesuruhjaya Suhakam Lok Yim Pheng yang menerima memorandum itu berkata, pasukannya akan menyiasat dakwaan itu dengan menyeluruh.

FMT telah cuba menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk mendapatkan komen.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply