Seorang lelaki dan wanita ditemukan mati di dalam sebuah rumah di Taman Merdeka, di sini, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang sebelum pihak polis menerima maklumat mengenai insiden itu.
Menurutnya, mayat wanita berusia 22 tahun dipercayai bekas kekasih lelaki terbabit ditemukan dengan kesan tikaman.
“Manakala mayat lelaki berusia 33 tahun pula ditemukan di dalam bilik dengan berlumuran darah dipercayai bunuh diri.
“Siasatan di dalam rumah itu polis turut menemukan pisau dipercayai senjata digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati motif kejadian dipercayai angkara lelaki itu tidak rela berpisah dengan mangsa.
“Ada kenalan mangsa mengetahui mengenai pertengkaran wanita itu dengan lelaki terbabit sebelum cuba membantu.
“Namun mereka tidak dapat masuk ke dalam (rumah) kerana pintu berkunci sebelum memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian bagi mengesan sekiranya terdapat kehadiran individu lain dalam insiden itu,” katanya.
Sumber : HM