Bumbung empat kediaman diterbangkan ribut yang melanda Kampung Geduk, Gemencheh, di sini, selama kira-kira 10 minit, semalam.

'Ribut 10 Minit' Sebabkan 4 Rumah Hilang Bumbung

Insiden kira-kira jam 3.40 petang itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang.

Termasuk ada yang menghalang laluan jalan raya, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, berkata empat keluarga terjejas selepas bumbung rumah diterbangkan ribut.

Kini mereka menumpang berteduh di kediaman saudara mereka.

“Berdasarkan maklumat penduduk, mereka dikejutkan dengan bunyi angin deras berserta hujan selama kira-kira 10 minit sebelum beberapa bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

“Selain itu, ada sekurang-kurang 10 pokok tumbang. Penduduk dapat menyelamatkan diri dan syukur kerana semua tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Susulan itu, Mohd Isam berkata, kerja pembaikan sumber bekalan elektrik serta air oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah diselesaikan.

“Pejabat Daerah akan memberi bantuan bagi memperbaiki rumah yang mengalami kerosakan mengikut keperluan.

“Manakala, bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan sedang diusahakan.

“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga membantu membersihkan kawasan terjejas serta mengalihkan pokok yang tumbang.

“Saya difahamkan bahawa insiden itu turut mengakibatkan kerosakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Geduk,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply