Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menumpaskan sindiket nikah tanpa tauliah dengan menggunakan surat nikah Thailand disyaki palsu di kawasan Chepor di sini, baru-baru ini.
Kira-kira jam 9.30 malam, serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah membawa kepada penahanan lelaki dikenali ‘Ustaz Zul’ berusia 50 tahun.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, hasil serbuan pihaknya telah menahan 16 individu.
Turut ditahan termasuk isteri dan anak kepada lelaki yang mendakwa dirinya sebagai jurunikah bertauliah.
‘Ustaz Zul’ ditahan ketika sedang menikahkan sepasang pengantin yang berasal dari Klebang di sini.
Pernikahan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama.
Menurutnya, sebanyak 15 keping surat nikah Thailand atas nama pelbagai pasangan telah dirampas.
Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 untuk menguruskan pernikahan secara rahsia.
Selain itu, turut menggunakan surat nikah Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 40 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004.
Kesalahan akad nikah tanpa kebenaran akan memperuntukkan hukuman denda dan penjara.
Katanya lagi, JAIPk memandang serius aktiviti pernikahan oleh sindiket ini.
Beberapa lokasi serta individu terlibat dikenal pasti telah menjalankan perbuatan sama.
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dan akan dibawa ke muka pengadilan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan pernikahan sindiket yang kononnya sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pernikahan terutamanya secara poligami.
Kesannya bukan sahaja kerugian wang malah pernikahan tersebut berdepan dengan status tidak sah yang kemudiannya boleh merosakkan nasab keturunan.
Sumber: Astro Awani