Hasrat pemuda berusia 26 tahun untuk mencari wang lebih dengan membuat kerja-kerja mengedar arak seludup akhirnya membawa padah.

Lelaki Buat 'Part Time' Edar Arak. Akhirnya 'Tersungkur' Jua

Kegiatan haram suspek telah terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 22 Julai lalu.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad memberi kenyataan dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Kastam Johor, di sini hari ini.

Katanya, suspek ditahan ketika sedang memandu sebuah Toyota Estima yang dipenuhi dengan 3,840 tin arak dipercayai diseludup.

Suspek tersebut telah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru dibawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 pada 27 Julai lalu dan sedang menanti perbicaraan.

Dalam kejadian tersebut, pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai JKDM Johor memeriksa kenderaan dipandu suspek.

Pemeriksaan dilakukan di tepi jalan Kilometer 2.7, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar, Iskandar Puteri, dekat sini pada pukul 6.45 pagi.

Pemeriksaan rapi mendapati sebanyak 3,840 tin bersamaan 1,790 liter arak seludup disimpan di tempat duduk penumpang depan dan tempat duduk belakang.

Arak yang dirampas bernilai RM10,700, manakala jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM37,300.

Nilai rampasan keseluruhan berserta kenderaan adalah RM88,100.

Tambah Sazali, soal siasat terhadap suspek mendapat dia bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai aksesori kenderaan.

Suspek telah melakukannya kerja-kerja mengedar arak seludup berkenaan secara sambilan sejak dua bulan lalu.

Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk arak tulen sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kemudian, arak tersebut diedar menggunakan kenderaan peribadi mengikut permintaan.

Pemeriksaan telah dilakukan terhadap nombor pendaftaran kenderaan tersebut.

Bagaimanapun mendapati ianya menggunakan nombor palsu kerana pemilik sebenar adalah individu lain.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply