Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan juga bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan pecah amanah berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Isu LCS : Bekas Panglima TLDM Didakwa Pecah Amanah Lebih RM21juta

Tertuduh, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, yang memakai kot hitam dan berkemeja putih bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengarah Urusan BNS melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun; dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Shaharudin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.

Shaharudin kemudian mencadangkan wang jaminan RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000 dan penjamin seorang warga tempatan serta pasport diserahkan kepada mahkamah yang mana turut dipersetujui pihak peguam bela.

Mahkamah kemudian membenarkan wang jaminan RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000 dan penjamin seorang warga tempatan serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 24 November sebagai tarikh sebutan kes.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply