Banjir: Tiada Pembalakan Di Hutan Simpan Lentang | Tinjauan dron mendapati tiada pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.

Banjir: Tiada Pembalakan Di Hutan Simpan Lentang

Jabatan Perhutanan Pahang menerusi kenyataan malam ini, memaklumkan semakan di kedua-dua tempat mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan pembalakan menerusi media sosial, ialah sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu.

Menurutnya, semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di dua lokasi itu bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat berterusan selama tiga hari, bermula 16 Disember hingga banjir besar di Bentong pada 18 Disember lalu, yang disokong data taburan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong dengan mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm) pada 18 Disember serta dikategorikan sebagai sangat lebat.

Tambahnya, semakan  udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik yang membawa sisa sampah sarap terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul, akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai itu,” menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu, semakan di lapangan turut menemukan pelbagai sisa batang pokok dan kayu terdiri daripada pelbagai spesies antaranya pokok hutan, durian, getah dan kelapa sawit yang memberikan gambaran arus air sungai yang deras turut membawa sampah sarap dari kawasan luar Hutan Simpan Lentang.

Kejadian kepala air di dua tempat itu, menurut jabatan berkenaan tiada kena mengena dengan pembalakan di tanah kerajaan Sungai Gapoi, seperti dakwaan sesetengah pihak kerana jaraknya adalah sejauh 16 kilometer (km) dari Jambatan Telemong dan 23 km dari jalan Bentong-Karak.

Selain itu, tinjauan di lokasi hari ini mendapati air Sungai Gapoi jernih dan tiada kesan kepala air.

Jabatan itu juga memaklumkan Huatn Simpan Lentang diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sejak 2002 menyebabkan tiada pembalakan dibenarkan selain kawasan seluas 30 hektar dalam hutan itu, dijadikan sebagai petak Hutan Pemuliharaan Bernilai Tinggi pada 2012 yang bermaksud kawasan hutan perlindungan yang tidak boleh dijalankan pembalakan.

Berhubung sisa kayu itu, jabatan itu berkata, tindakan lanjut akan dilakukan bagi memastikan sisa itu dialihkan segera dan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984, selain tinjauan lanjut menggunakan helikopter akan dibuat pada awal Januari bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air dalam Huatn Simpan Lentang.

Jabatan itu juga mencadangkan kawasan tanah kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan Hutan Simpan Lentang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal mengikut Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984 supaya kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan, bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di masa hadapan.

Selain itu, jabatan itu juga menyarankan pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam, bagi mengelakkan berlaku hakisan lebih serius.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply