Mangsa Banjir Ditemani Ular Sawa 10 Jam Ketika Berteduh | Dua wanita warga emas yang berlindung dari banjir dengan duduk di atas bumbung rumah tidak menyangka seekor ular sawa juga menumpang berlindung.
Kejadian yang berlaku pada malam 18 Disember lalu di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, di sini, berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun mereka duduk bersama dengan ular hampir 10 jam.
Mangsa Asian Osman, 63, berkata dia dan adiknya berusia 62 tahun terpaksa memanjat ke bumbung rumah selepas banjir lumpur menenggelamkan rumah yang diduduki sejak 40 tahun lalu kerana air naik sehingga tiga meter.
Ujarnya, dia dilaporkan terpaksa memanjat bumbung rumah pada jam 7 malam bersama adiknya dan empat ekor kucing belaan mereka selepas air naik akibat hujan yang tidak berhenti dari pagi.
Dia menceritakan bahawa semasa berada di atas bumbung, dia terlihat seeokor ular sawa betul-betul di balik bumbung belakangnya, namun bertindak untuk merahsiakan perkara itu dari adiknya kerana bimbang akan panik sehingga terjun ke dalam air.
Katanya, susulan dari itu, dia berdoa dan berbisik dalam hati supaya ular berkenaan tidak mengancam keselamatan diri dan adiknya serta kucing peliharaan mereka.
Dia berkata, oh ular kau pun cari tempat berlindung, aku pun cari perlindungan. Kau jangan ganggu aku dan aku pun tidak akan ganggu kau.
Sehinggalah air mulai surut dan tiada lagi arus deras pada jam 5 pagi, ular itu masuk ke dalam air sebelum mereka turun ke tanah.
Asiah berkata, semasa kejadian jam 7 malam itu, dia, adik dan anak angkatnya tinggal dalam rumah berkenaan ketika hujan lebat sejak pagi.
Tambahnya, pada mulanya hujan turun waktu pagi hari, sepertimana dia merasakan sama seperti sebelum ini. Namun, selepas waktu Maghrib, air dari sungai dan dari arah bukit di belakang rumahnya bertembung dan menyebabkan arus deras sebelum naik ke paras bumbung.
Pada waktu itu, dia telah mengarahkan anak angkatnya untuk panjat pokok langsat, selepas jambatan rumah mereka juga dinaiki air sepenuhnya, manakala dia dan adiknya terus memanjat bumbung rumah.
Kejadian berkenaan membuatkan Asiah lebih trauma dan akan lebih berjaga-jaga selepas ini.
Menurutnya, dia sudah serik dan jika hujan turun lebih dari 2 jam, dia akan terus keluar dari rumah dan cari tempat selamat. Nyawa lebih penting berbanding harta-benda.
Sumber: Berita Harian