Bayi Dua Bulan Meninggal Dunia Di Rumah Pengasuh

| April 8, 2021 | 0 Comments

Bayi Dua Bulan Meninggal Dunia Di Rumah Pengasuh |Seorang bayi lelaki berusia dua bulan ditemui tidak sedarkan diri oleh pengasuhnya yang bertindak membawanya ke klinik berdekatan namun dia disahkan meninggal dunia.

Kuala Lumpur: Seorang bayi berumur dua bulan ditemui meninggal dunia di rumah pengasuhnya di sebuah apartment di Setiawangsa di sini pada Rabu.

Ibu mangsa, Nor Ariyana Md Isa,39, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila pengasuh menghubunginya dan memaklumkan bahawa anaknya, Mohammad Shiraz Nabhan Shahril tidak sedarkan diri pada jam 3.10 petang.

“Saya minta pengasuh bawa ke klinik kesihatan, sebelum saya menaiki motosikal bergegas dari tempat kerja ke klinik berkenaan.

“Doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Nor Ariyana berkata anak bongsu dari empat beradik itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa untuk tindakan lanjut,”katanya.

Sementara, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu memaklumkan pengasuh yang berusia 50-an itu yang juga merupakan kenalan kepada keluarga mangsa menyedari bayi berkenaan tidak sedarkan diri selepas cuba untuk mengejutkannya yang sedang tidur untuk memberi susu.

“Apabila melihat keadaan bayi yang tidak bergerak, pengasuh tersebut telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Dato Keramat untuk bantuan lanjut.

“Apabila sampai di klinik, doktor telah cuba untuk memberi bantuan penafasan (CPR), tetapi mangsa tidak memberikan merespon dan disahkan meninggal dunia,”katanya.

Ashari berkata, siasatan di tempat kejadian dan tubuh bayi tersebut tidak menemui sebarang tanda yang mencurigakan dan kesan kecederaan.

“Ibu mangsa reda dengan kejadian yang menimpa bayinya. Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,”katanya.

Ashari memaklumkan punca kematian masih dalam siasatan dan bedah siasat akan dibuat setelah keputusan swab Covid diperolehi.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *