Bekalan Tak Cukup, Hujan Lebat Punca Harga Sayur Naik

| November 25, 2021 | 0 Comments

Bekalan Tak Cukup, Hujan Lebat Punca Harga Sayur Naik | Kekurangan bekalan pelbagai jenis sayuran daripada pembekal adalah dikatakan akibat faktor cuaca atau musim hujan yang menjadi punca utama kenaikan harga sayur secara mendadak di Pahang.

Bekalan Tak Cukup, Hujan Lebat Punca Harga Sayur Naik

Menurut Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Mark Ujin, ia antara punca yang dikenal pasti selepas menjalankan siasatan terhadap rungutan daripada peniaga dan pengguna, baru-baru ini.

Jelasnya, selain bekalan tempatan, beberapa negara pengeluar bagi sayuran import turut mengalami fenomena cuaca sejuk melampau menyebabkan bekalan sayuran semakin kritikal.

Beliau dimaklumkan bahawa harga sayuran menjadi mahal disebabkan permintaan tinggi daripada peniaga dan pembekal gagal menyediakan bekalan mencukupi.

Oleh sebab itu, peniaga terpaksa membeli bekalan sayuran pada kadar terhad dengan harga yang tinggi ditawarkan oleh pembekal, katanya lagi.

Diminta mengulas lanjut mengenai isu ini, selain daripada dua punca utama tersebut, beliau turut menekankan mengenai isu kekurangan pekerja di ladang yang turut menjadi punca kepada kenaikan harga sayuran.

Beliau berkata, ramai pekerja asing yang pulang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak dibenarkan masuk semula ke Malaysia sehingga kini mengakibatkan pengeluaran di ladang terganggu.

Mark bagaimanapun memberitahu pihaknya telah mengambil tindakan dengan melakukan libat urus bersama agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menangani isu berkenaan.

Difahamkan, pihak penguatkuasaan dan pegawai pemantau harga akan meningkatkan pemantauan di premis-premis perniagaan sayur di negeri ini dari masa ke semasa.

Terdahulu, dilaporkan bahawa pihak mereka telah menerima rungutan daripada peniaga berhubung kenaikan harga beberapa jenis sayuran sejak dua minggu lalu.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *