Bekas Anggota Tentera Ditemui Maut Tergantung Di Kipas Siling | SUNGAI PETANI: Seorang bekas anggota tentera berpangkat sarjan ditemukan mati tergantung di kipas siling rumahnya di Taman Seri Bayu Fasa 2, Sungai Lalang di sini hari ini.
Mayat lelaki keturunan Murut yang berasal dari Sabah itu ditemukan oleh isterinya tergantung di kipas di dalam bilik kedua rumah yang didiami bersama empat anak mereka pada pukul 6.30 pagi.
Mangsa yang ditamatkan perkhidmatan semasa bertugas di Markas 6 Briged di sini kerana masalah dadah, enam tahun lalu kini bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kedai ‘hardware’ di Bukit Selambau di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 8 pagi.
“Semasa polis sampai, isteri dan anak perempuan mangsa telah menurunkannya yang menggunakan tali pinggang untuk menggantung dirinya di kipas siling rumah itu.
“Pegawai Kementerian Kesihatan Daerah Kuala Muda yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Adzli berkata, hasil temu bual dengan isterinya mendapati mangsa sering merungut berkaitan masalah kewangan dan buntu mencari jalan penyelesaian.
“Ekoran sentiasa murung, mangsa pernah cuba membunuh diri sebelum ini tetapi diselamatkan oleh isteri dan anaknya. Pemeriksaan fizikal dapati tiada kesan kecederaan berunsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa yang telah lengkap dua dose vaksin jenis Pfizer itu di hantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Sumber: Utusan