Hulu Langat: PM Hadir Gotong-royong, Dengar Sendiri Keluhan Rakyat | Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan hadir pada program Gotong Royong Keluarga Malaysia di sekitar daerah Hulu Langat bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir di sini.
Pada program yang berlangsung pagi tadi, perdana menteri dikatakan sempat bertanya khabar dan mendengar keluhan penduduk di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua serta bebanan ditanggung mereka akibat bencana yang melanda.
Selain mangsa banjir, perdana menteri turut melihat dan mendekati sebahagian sukarelawan yang bertungkus lumus membersihkan rumah mangsa banjir.
Sementara itu, bagi penduduk di sini, inilah masanya untuk mereka mengadu nasib selepas terpaksa menanggung beban akibat kerosakan harta benda milik mereka.
Rata-rata mereka dikhabarkan meluahkan rasa terkilan atas ‘kelemahan’ dalam proses menangani situasi banjir ketika bencana itu berlaku.
Bagi Mahadzir Idris, 64, yang tinggal lebih 30 tahun di sini, dia terpaksa menyelamatkan diri ketika banjir mulai melanda tanpa sebarang bantuan daripada agensi berwajib.
Dia berkata, jika diikutkan semasa kejadian itu berlaku, memang tiada satupun agensi berkaitan yang masuk selamatkan mereka sehingga terpaksa menumpang bumbung rumah kedai sebelah. Ujarnya, selepas air kelihatan surut pada hari kedua, barulah mereka kelihatan di tempat kejadian.
Jelasnya lagi, dia hanya melihat anggota Pertahanan Awam yang masuk ketika itu, namun tiada apa yang mereka boleh lakukan ketika saya menjerit memanggil mereka.
Difahamkan, Hulu Langat merupakan antara daerah paling teruk terjejas di Selangor apabila bencana banjir melanda negara minggu lalu yang turut menyaksikan beberapa negeri lain ditenggelami air dan lumpur.
Sumber: Astro Awani