Berbakti Hingga Akhir Hayat, Pelajar 11A SPM Imamkan Solat Jenazah Ibu | PETALING JAYA – Seorang pelajar cemerlang berbakti sehingga ke akhir hayat apabila mengimamkan solat jenazah ibunya sendiri selepas tiga hari menyambut kegembiraan beroleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Yuhanis Azam, yang tular sejak semalam, ramai berasa kagum dengan ketabahan dan kecekalan anak soleh itu walaupun berdepan dengan ujian yang sangat hebat.

“Bila ayahnya meninggal dunia, dia ambil alih menjaga ibunya yang sakit. Di saat dia menerima berita gembira berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, Allah menjemput ibunya pulang.

“Malahan, dia menjadi imam menyempurnakan solat jenazah ibunya sendiri. Masya-Allah, di saat ramai anak-anak remaja kita kehilangan arah tuju, Allah hadirkan satu susuk untuk dijadikan contoh tauladan.

“Di saat kita merasa kitalah yang paling berat diuji, Allah hadirkan anak ini menempelak diri. Adakah kita ini hambaNya yang bersyukur, atau hanya pandai menyalahkan takdir Ilahi,” tulis Yuhanis.

Perkongsian itu telah mendapat 7,600 tanda suka dan 9,761 perkongsian di semua platform media sosial.

Muhammad Syahril Saidi, 18, telah menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang terlantar sakit akibat penyakit saraf sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu.

Menurut nenek saudaranya, Zainab Otman, 58, Muhammad Syahril dan lima adik beradiknya yang lain berkorban masa menjaga ibu mereka yang sakit sejak kematian bapa 11 tahun lalu.

“Muhammad Syahril merupakan anak yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah mengeluh untuk menjaga ibunya yang terlantar sejak empat tahun lalu.

“Keputusan cemerlang Muhammad Syahril dalam SPM merupakan hadiah bermakna buat ibunya. Arwah Tuan Faridah amat terharu di atas keputusan SPM sebelum dia menghembuskan nafas kira-kira pukul 8.40 malam Sabtu.

“Dia juga pergi dengan tenang. Alhamdulillah, semuanya telah selesai dengan baik dan kami juga reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga Muhammad Syahril di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan, semalam.

Sebelum ini, ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18 meninggal dunia, malam semalam.

Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia kira-kira 8 malam.

Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasod berkata, mengesahkan kejadian dan berkata, dia mengetahui berita kematian ibu pelajar cemerlang itu Maghrib semalam.

Katanya, dia terus ke rumah Syahril dan setakat ini, lebih 30 ahli keluarga dan orang ramai hadir ke rumah pelajar berkenaan di Kampung Kandis.

“Difahamkan jenazah akan disolatkan di sini sebelum dikebumikan di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah.

“Ketika ini saya masih berada di rumah Syahril untuk membantu dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, kisah Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman,Beris Lalang itu menjaga ibu yang sakit namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, Khamis lalu.

Syahril menerima keputusan SPM daripada pihak sekolah yang hadir ke rumahnya kerana dia tidak dapat ke sekolah kerana menjaga ibunya yang tidak sihat kerana sakit angin Ahmar sejak 2019.

Pemergian Tuan Faridah yang dipanggil Umi oleh Syahril turut dikongsi pemimpin setempat dan laman kumpulan di media Sosial seperti Perantau Bachok sejak malam tadi.

Sumber: Kosmo & KMN

Share.

Leave A Reply