Penyanyi otai, Datuk Hattan berkongsi, Allahyarham Bob Lokman memberitahunya tidak dapat hidup lama ketika menziarahi di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan, tiga minggu lalu.
Hattan berkata, arwah hanya berbaring, malah bersolat atas katil ketika kunjungan itu.
Berada di Pulau Pinang terikat dengan tuntutan kerja, Hattan berkata, dia memang terkilan tidak dapat memberikan penghormatan terakhir buat sahabat yang dikenali sejak 1980-an.
Jelas Hattan, sedih tidak dapat menatap wajah arwah Bob buat kali terakhir. Jika tiada kerja di Pulau Pinang sudah tentu terbang ke Kelantan untuk menziarahinya.
Tambahnya, sudah tiada jiwa, malah fikiran melayang pada arwah ketika buat persembahan sebentar tadi.
Namun, sambungnya beliau tetap bersyukur dapat bertemu arwah buat kali terakhir, tiga minggu lalu di kediamannya. Secara kebetulan, ada kerja, jadi ambil kesempatan mengunjunginya.
Beliau maklumkan, ketika itulah, arwah beritahu hidupnya sudah tidak lama memandangkan fungsi jantungnya hanya tinggal 10 peratus.
Kata Hattan, tanpa arwah mungkin dirinya tidak akan berada di tahap hari ini.
Hattan menyifatkan arwah sebagai seorang intelektual, malah bahasa digunakan untuk menghasilkan lirik begitu sedap dan kehilangannya sukar dicari ganti.
Ujarnya, selepas kehilangan arwah Loloq kira-kira 14 tahun lalu, kita kehilangan seorang lagi penulis lirik berbakat besar.
Hattan berkata lagi, boleh dikatakan separuh perjalanan kerjaya seninya bersama arwah. Kebanyakan lagu berentak balada, dirinya akan menaruh kepercayaan kepada arwah.
Jelasnya, mereka mula berkenalan selepas sering berkampung di Studio Luncai Emas milik Datuk M Nasir di Sungai Buloh.
Sambungnya, walaupun sudah tidak aktif dalam bidang seni, kami rajin berhubung. Hubungan kami sangat rapat hingga arwah sanggup datang berhari raya seorang diri di kampung halaman di Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Selain lagu Rendang Tak Berbuah dan 5 Oktober, arwah juga pernah menghasilkan lirik lagu Memburu Rindu, Kalis dan beberapa lagu lain.
Allahyarham Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung, jam 3 petang tadi.
Sumber: Berita HarianĀ