Bukan Potongan Tangan Manusia Tapi.. – Polis | Penemuan potongan tangan yang mirip tangan manusia di Kampung Seberang Hilir, Dalat, dekat Mukah Ahad lalu, kemungkinan milik seekor kera.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, perkara itu disahkan selepas pemeriksaan dilakukan di Hospital Mukah.
“Ia mungkin milik seekor kera,” katanya, hari ini.
Seorang penduduk kampung tersebut terkejut apabila menemui tangan di belakang rumahnya sekitar 5 petang 17 Mei lalu sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Pihak polis kemudian membawa tangan kanan yang terputus itu ke Hospital Mukah untuk pemeriksaan.
Saga turut mengesahkan tidak ada laporan mengenai kehilangan orang di daerah itu sejak dua bulan lalu.
Penduduk Kampung Tengah, Dalat, di Mukah, gempar dengan penemuan bahagian tubuh, dipercayai tapak tangan manusia yang hanyut di Sungai Oya.
Widia Semuli, 30-an berkata, tapak tangan itu yang tersangkut di jeti rumah mereka jam 7 pagi ditemui anaknya.
Beliau yang terkejut selepas dimaklumkan dengan penemuan itu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Ketika itu anak saya ke jeti dan ternampak objek pelik seperti tapak tangan manusia dan saya segera melihatnya selepas diberitahu mengenai objek itu.
“Saya kemudiannya menghubungi polis dan mereka mengambilnya untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun Widia berkata, sehingga malam ini mereka belum menerima maklumat lanjut hasil pemeriksaan itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat sudah membawa tapak tangan seakan tangan manusia itu ke Hospital Dalat untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini tiada laporan orang hilang atau dibaham buaya diterima di IPD Dalat,” katanya ketika dihubungi.
Sumber : MyMetro