Dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini, telah dikesan di Malaysia, masing-masing sejak 16 Mac dan 21 Ogos lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama bagi BF.7 yang dikesan pada 21 Ogos merupakan kes jangkitan tempatan, manakala kes kedua pada 6 September (kes import jangkitan dari Turkiye), dan kes ketiga pada 7 Oktober merupakan kes jangkitan tempatan.
“Di peringkat global pula bagi varian BA.5.2, kemuncak penularan adalah sekitar bulan September-Oktober 2022 dengan kebanyakannya dikesan di negara seperti Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat.
“Bagi varian BF.7 pula, kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemukan di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Semalam Dr Noor Hisham berkata, setakat 31 Disember lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.
Sumber: SH
Berita Berkaitan..
28 Sampel Kumbahan PMA Terdapat Virus SARS-CoV-2
Survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan yang dilaksanakan sejak Jun hingga 31 Disember tahun lepas, merekodkan 96.5 peratus atau 28 daripada 29 sampel dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) manakala satu lagi sampel masih dalam proses pengujian.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, MKAK turut menerima sejumlah 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di negara ini.
“288 sampel (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, yang positif Omicron. Tiga tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Malaysia menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan melibatkan sampel dari PMA dan lokasi sentinel sejak Jun tahun lepas, antara lain bertujuan sebagai survelan sokongan bagi Covid-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.
Beliau berkata, survelan tersebut bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran trend kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti, serta memantau keberkesanan intervensi kawalan Covid-19 secara amnya.
“Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan. Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan, mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian.
“Bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara-negara yang berisiko. Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui lori septik pembentung ke kemudahan pelupusn sisa pesawat (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak Pengendali Darat Lapangan Terbang.
Setelah penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF.
Dr Noor Hisham berkata, persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.
“Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil daripada pesawat terpilih,” katanya.
Beliau berkata, seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA akan turut melibatkan sampel dari China.
Langkah itu akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara tembok besar tersebut sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa, katanya.
Sumber: SH