Seorang warga emas yang dilapor hilang di dusun buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, di sini, tujuh hari lalu, ditemukan selamat, baru-baru ini.
Yaakub Ismail, 76, dijumpai dalam sebuah pondok di dusun milik penduduk kampung jam 6.45 petang tadi, kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada petang Khamis minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin mengesahkan mangsa ditemukan selamat di dalam pondok di atas bukit oleh orang awam yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat.
Ketika dijumpai, katanya mangsa dalam keadaan sedar dan mampu bercakap.
Ujarnya, warga emas itu tidak mengalami kecederaan dan dibawa turun dari bukit sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan kerana tidak bermaya.
Katanya, mangsa memaklumkan sebelum hilang dia turun dari kebun untuk melihat anak pokok getah dan hilang arah berikutan tidak tahu jalan untuk balik ke kebunnya. Mangsa sedar yang dia tidak makan selama tujuh hari bermula Khamis lalu.
Sementara itu, anak ketiga mangsa, Mohd Sufian, 49, memaklumkan bapanya kini lemah, namun mampu bercakap dan ada memaklumkan dia berjalan sehingga berteduh di dalam pondok itu.
Katanya, alhamdulillah, ayah ditemukan selamat selepas tujuh hari hilang di dusun. Ketika hilang, ayah hanya makan daun kayu dan minum air lopak.
Mohd Sufian berkata, bapanya akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Masjid Berangan, dekat Tumpat selepas selesai menerima rawatan.
Media sebelum ini melaporkan, Yaakub yang juga pesara kerajaan hilang ketika membersihkan dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun jam 3.30 petang Khamis minggu lalu.
Sumber: Berita HarianĀ