Dua Wanita Langgar Belakang Lori Nyaris Terbakar, Kereta Rentung | SHAH ALAM – Dua wanita terselamat daripada rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas melanggar belakang lori membawa muatan air di Kilometer 31.7 Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) malam tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, seramai 13 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.05 malam sebelum tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
Katanya, berdasarkan laporan awal kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) jenis Proton X70 melanggar lori tiga tan membawa muatan air.
“Pelanggaran itu menyebabkan SUV itu terbakar 50 peratus manakala lori tersebut tiga peratus.
“Dua wanita berusia 37 tahun cedera ringan sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Satu Mayat Rentung Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Guthrie
Satu mayat rentung ditemukan di tempat duduk pemandu dalam sebuah kenderaan yang terbakar 100 peratus di Kilometer 2.0 Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dekat sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.15 pagi berhubung kebakaran kenderaan itu, dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Sebaik tiba, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta Mazda terbakar 100 peratus.
“Bomba menemui satu mayat rentung tanpa identiti di tempat duduk pemandu, mayat dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataannya mengesahkan kejadian terbabit.
“Kira-kira 1.35 pagi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima satu laporan berkenaan kemalangan jalan raya kira-kira 150 meter sebelum tol Bukit Jelutong.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Mazda warna merah tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri pengadang jalan dan kemudian terbakar.
“Mangsa yang belum dikenal pasti identiti disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana turut terbakar bersama kenderaan yang dipandunya.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian,” katanya.
Susulan itu katanya, polis kini sedang mengesan saksi bebas di tempat kejadian dan waris mangsa.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat (BSPT) IPD Shah Alam Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : Harian Metro