Enam Bulan Terseksa, Dipandang Seperti Makhluk Asing | Gara-gara beberapa kali penggambaran ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Pelan Pemulihan Negara (PPN), pelakon Azhan Rani, 45, terpaksa berimej rambut perang selama enam bulan hingga mendapat perhatian ramai.

Azhan yang mewarnakan rambut demi menjayakan watak Alwi drama Keluarga Untuk Disewa arahan Raja Mukhriz yang kini disiarkan menerusi slot Diandra di TV9.

Katanya, sepatutnya imej berambut perang hanya digayakan dalam tempoh sebulan sahaja.

Namun, katanya, siapa sangka pelaksanaan PKP dan PPN berlanjutan hingga memaksanya membiarkan imej berambut perang sehingga enam bulan.

Saya akui, ia adalah satu fasa yang cukup menyeksakan diri.

“Asalnya, saya perlu menggayakan rambut perang ini hanya tempoh sebulan sahaja, tetapi tidak sangka kita akan melalui fasa PKP dan PPN yang panjang sehingga penggambaran tidak dapat dijalankan.

“Jadi, nak tak nak, saya terpaksa mengekalkan warna rambut perang ini demi menjaga konti karakter. Keadaan ini sangat menyeksakan saya, seperti makhluk asing apabila sering menjadi perhatian ramai.

“Lebih terseksa apabila hendak masuk masjid atau surau. Saya terpaksa tutup kepala dengan serkup, keadaan ini cukup menyusahkan, tetapi saya terpaksa bertahan demi watak Alwi,” katanya kepada BH Online.

Azhan ditemui pada sidang media drama bergenre ‘black komedi’, Keluarga Untuk Disewa, baru-baru ini.

Katanya, dia terlebih dahulu menawarkan diri mewarnakan rambut perang bagi membawakan kelainan kepada watak dalam drama berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia pernah terfikir mahu menukar semula warna rambut, namun, bimbang boleh merosakkan warna dan konti, jadi terpaksa buat keputusan bertahan dengan warna rambut berkenaan.

Dalam nada seloroh, Azhan berkata, dia tidak akan menawarkan diri mewarnakan rambut lagi, sebaliknya memilih membotakkan kepala sekiranya penerbit berhasrat menyambung drama berkenaan untuk musim kedua.

Cukup dikenali dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama popular Nur, Azhan menjelaskan, dia memilih tampil berambut kuning keemasan dalam drama 20 episod itu semata-mata untuk memberi kelainan pada penampilannya dalam drama komedi berkenaan.

“Apabila seseorang pelakon sudah menjayakan banyak drama, mereka akan berhadapan dengan masalah mencari kelainan dalam lakonan, memandangkan kebanyakan watak yang dibawakan sama sahaja, sama ada komedi atau antagonis.

“Secara kebetulan, penerbit, Sharifah Shahora dan Raja Mukriz memberi ruang kepada saya menerokai dan melonggarkan karakter diberikan, jadi saya memberi idea mewarnakan rambut demi menjayakan watak gelandangan bernama Alwi.

“Saya sukakan wawasan Raja Mukhriz untuk drama ini kerana dia cuba lari daripada menampilkan komedi plastik, malah

memberikan ruang kepada pelakon mengembangkan watak mereka,” katanya yang tidak pernah mewarnakan rambut perang seumur hidupnya.

Selain Azhan, drama Keluarga Untuk Disewa turut dibintangi Adibah Noor, Fifi Laura Olivia, Dynas Mokhtar, Pekin Ibrahim, Fimie Don, Afifah Nasir dan ramai lagi.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply