Gerai roti canai popular di sini, diarah tutup berkuatkuasa hari ini sehingga 16 Januari susulan tahap kebersihan tidak memuaskan.
Notis dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut itu dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Premis terbabit turut menerima kompaun RM500 kerana gagal menghantar pekerja bagi mengambil kursus pengendalian makanan.
Manakala tahap kebersihan kedai berkenaan didapati tidak memuaskan selain menggunakan telur yang terdapat najis ayam sebagai bahan bagi membuat makanan.
Turut menerima kompaun RM500 ialah gerai minuman berhampiran gerai roti canai itu yang dikesan mempunyai pencemaran silang pada peti penyimpanan ais.
Terdahulu, pemeriksaan dilakukan kira-kira 11 pagi ketika premis berkenaan dipenuhi dengan pelanggan yang menjamu selera.
Tinjauan Harian Metro ketika operasi itu mendapati, ramai pengunjung berbaris memesan roti canai meskipun mengetahui pemeriksaan kebersihan sedang dilakukan lapan pegawai dan anggota BKKM.
Pada 2019, gerai berkenaan pernah dikompaun kerana mengabaikan kebersihan namun tidak membabitkan penutupan premis kerana persekitarannya masih berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Shahjahan Abdul Hamid berkata, dia akur dengan arahan berkenaan dan memohon maaf kepada pelanggan.
Katanya, tempoh penutupan itu akan diguna sebaiknya bagi membersihkan gerai berkenaan.
“Pekerja lama sudah pulang ke India, pekerja sedia ada mempunyai sedikit masalah,” katanya di sini.
Difahamkan, pemeriksaan itu dilakukan atas inisiatif pihak terbabit susulan video tular di media sosial mengenai pekerja premis itu yang tidak mengamalkan kebersihan ketika membuat makanan.
Video berdurasi 53 saat itu mendapat pelbagai reaksi warga net yang meminta pihak berkuasa bertindak dan memeriksa kedai berkenaan.
Sumber: HM
Berita Lain Yang Boleh Dibaca..
Bekas Makanan Berulat, Nasi Lama Ditemui Di Bahagian Dapur Kedai Makan
Dua warga Myanmar yang tidak mempunyai permit kerja sah dikesan menyewa kedai makan di Gerbang Sungai Ara, Bayan Lepas untuk menjual roti canai.
Bagaimanapun, kedai berkenaan kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.
Susulan itu, premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari bermula hari ini, dalam Operasi Premis Warga Asing yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, dua warga asing itu memegang kad UNHCR dipercayai menyewa premis berkenaan daripada penyewa lain.
“Mereka tiada permit kerja dan menggunakan lesen perniagaan rakyat tempatan. Didapati kedai roti canai beroperasi pada waktu pagi, manakala petang dan malam pula, digunakan penyewa lain bagi menjual masakan Thailand.
“Turut dijumpai ialah nasi yang sudah lama dimasak serta disimpan di dalam periuk di bahagian bawah dapur, namun tidak pasti sama ada ia akan digunakan semula bagi dijual kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Arahan penutupan sehingga 15 Julai mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, selain menerima empat notis kompaun daripada MBPP yang keseluruhannya berjumlah RM500.
Katanya, kuih-muih yang dijual tidak bertutup dan dihurung lalat, manakala pemeriksaan lanjut di dapur menemukan bekas menyimpan makanan yang sudah berkulat.
Sementara itu, pemeriksaan terhadap kedai runcit di Kampung Batu Maung pula menggaji warga Bangladesh tanpa permit sebagai pembantu kedai.
Mohd Wazir berkata, premis juga didapati menjual 19 barang makanan keperluan dan snek yang sudah tamat tempoh selain makanan tin kemek dianggarkan bernilai RM200.
“Pemilik premis turut diberi tiga notis kompaun daripada MBPP dan satu lagi daripada JKNPP berjumlah RM3,000,” katanya lagi.
Operasi itu untuk mengesan aktiviti penyalahgunaan lesen perniagaan milik warga tempatan yang memberi keizinan kepada warga asing seperti pendatang asing tanpa izin (Pati) berniaga.
Sumber: HM