Hantaran RM700 | Berbunga hati rasa. Memang wujud lelaki-lelaki gentleman baik yang bekerja kuat. Jangan risau ya sahabat-sahabat ku yang masih bujang. Masa kalian, dengan orang yang tepat akan tiba.

Sebelum berkahwin, memang terlalu banyak ujian. Sering jugak aku
menangis, tetapi bukan kerana K. Tetapi kerana susahnya nak menghalalkan
hubungan kami.

Kami berdua, belajar tinggi juga tapi berlatar belakangkan keluarga yang
sederhana, manakala K bukan dari keluarga yang senang.

Sebelum aku bertunang dengan K dulu, aku sudah pernah bertunang. Dan
ketika itu, ayah aku tetapkan hantaran RM10K. Entahla, tak ada jodoh.

Bila dengan K, aku risau sangat jika ayahku akan kembali menetapkan
nilak hantaran begitu. Namun hati aku lega sangat, ketika bertunang
dengan K ayahku awal-awal lagi menyerahkan pada pihak lelaki berkenaan
hantaran.

Kenapa aku risau? Kerana aku tahu, ketika itu dalam simpanan K tidak
pernah sampai seribu pun. Bayangkan, gaji 800, 300 diberi pada ibu ayah,
kadang 200 diberi pada adik beradik.

Begitulah K yang tidak pernah berkira dengan keluarga. Aku memang cukup
jatuh hati dengan perangai yang itu, tapi tetap aku risau dengan
persiapan kahwin kami. Walaupun begitu, aku tidak pernah mendesak K, aku
tahu dia sedang cuba yang terbaik.

Selepas 3 bulan kami bertunang, K mendapat tawaran bekerja di tempat
yang lebih baik. Alhamdulillahhhh aku bersyukur sangat. Kerana mengikut
persetujuan, lagi 3 bulan kami akan berkahwin.

Sepanjang bertunang, K beberapa kali bertanya berapa hantaran yang aku
mahu. Selalu aku minta dia tetapkan. Tapi tetap juga dia mahu aku
sebutkan harga supaya senang untuk dia usahakan. 700 jawapanku. Kalau
rasa ada rezeki lebih, cukupkan seribu. Supaya ibu ayahku tidak terkejut.

Berkali dia tanya sepanjang pertunangan, jawapanku sama. Bila aku
bagitahu pada ibuku, memang ibuku marah. Kata ibu, nanti aku jatuhkan
maruah suamiku.

Tapi aku tetap dengan keputusan. Bukan kerana aku rendahkan kemampuan
dia, tetapi aku tahu tanggungjawab dia terhadap aku selepas kahwin nanti
memerlukan kewangan yang banyak.

Aku tak mahu dia banyak berhabis untuk aku semata untuk kahwin. Aku
tidak pernah sebut tentang hantaran pada sesiapa lagi selepas itu.

Hari perkahwinan kami tiba. Penuh sempurna. Namun aku sangat terkejut,
pada saat akad nikah, mas kahwin yang terlafaz dari mulut dia bahkan
bukan RM700, tapi RM10K. Lagi diberi seutas gelang emas yang entah
berapa ribu nilainya.

Aku memang terharu. Terlalu terharu. Cerita ini, tidak pernah aku
ceritakan pada sesiapa bahkan pada keluarga aku. K terus memberitahuku,
semua hantaran itu adalah kejutan dan hadiah untuk aku. Dan katanya, aku
mahal dari segalanya.

Alhamdulillah. Rupanya, memang semua itu adalah dari duit simpanan yang
dia mulakan sejak bertunang dulu. Yang aku rasa agak mustahil, tapi
Allah izinkan berlaku.

Aku rasa, beberapa contoh dari suamiku yang boleh kita ikut.

1. Jangan berkira dengan keluarga sendiri. Lagi-lagi ibubapa. Memberilah
walau tiada. Mungkin berkat dari situ Allah limpah kurnia rezeki yang
lebih banyak.

2. K memang suka hulur duit pada kanak-kanak. Walau sedikit. Walau itu
saja duit yang ada dalam poket, tetap dihulur.

3. Membantu kawan yang susah. Kadang, dia sendiri tiada apa, sanggup
dikosongkan poket untuk kawan kerana risaukan kawan. Yang ini, sampai
kami bergaduh juga sedikit.

Kerana pada aku, kawannya tu sampai mengambil kesempatan. Sihat tubuh
badan, tapi malas bekerja. Padahal K sampai kurus tak makan demi mencari
rezeki. Setiap bulan, mesti meminta dari dia. Aku tak marah, tapi aku
minta dia bagi peluang pada kawan dia untuk berdikari.

4. Bonus, untuk aku. Hehe. K tidak main game, tiada media sos**l. Ahh,
idola sangat. Moga satu hari nanti aku juga mampu melepaskan media
sos**l dan hidup sepenuhnya dengan dunia sebenar.

Sekarang, tidaklah kami kaya. Tapi sangat cukup, dan lapangnya di hati.
Doakan kami ya 🙂

– Bunga (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

Share.

Leave A Reply