Jenis-Jenis Hantu Jepun yang Sering Menghantui. |Jepun mempunyai kepercayaan terhadap makhluk-makhluk yang menyeramkan, roh-roh menakutkan dan hantu-hantu yang penuh dendam.

Jepun

Di Jepun, makhluk-makhluk yang menakutkan ini dikenali sebagai ‘Yokai’. Dalam kepercayaan masyarakat Jepun terdapat pelbagai jenis ‘Youkai’ yang berbeza-beza dan menarik untuk diketahui.

Hantu-hantu ‘Youkai’ ini terdiri daripada hantu yang tidak berbahaya sehinggalah kepada pemangsa yang berbahaya.

Cerita rakyat Jepun terdapat dalam pelbagai versi dan bermacam-macam jenis hantu yang mendiami sesuatu tempat di negara Jepun.

Ini menimbulkan persepsi bahawa setiap tempat di Jepun mempunyai makhluk mistik tersendiri. Bahkan setiap bangunan dan bandar mempunyai cerita hantu tersendiri, termasuklah di dalam tandas.

Tandas di Jepun dipercayai menjadi tempat tinggal hantu.

Ada yang pemalu, kasar bahkan ada juga yang berbahaya. Dalam banyak-banyak jenis hantu yang dipercayai tinggal di dalam tandas dalam kepercayaan Jepun. Ini adalah 6 jenis hantu yang paling popular yang di antaranya mungkin akan anda temui jika melancong ke Jepun.

1. Hantu Hanako

Mungkin inilah hantu tandas Jepun yang paling terkenal, Hanako sebenarnya adalah roh. Pada dasarnya, Hanako adalah makhluk yang menyeramkan yang biasa digunakan oleh kanak-kanak Jepun untuk menguji keberaniannya.

Biasanya mereka akan mengetuk pintu bilik mandi dan berkata “Apakah Hanako-san ada di dalam?” dan lalu hantu Hanako (dipercayai) akan berkata, “Ya, aku ada di dalam”.

Keterangan mengenai asal-usul Hanako sangat banyak, biasanya digambarkan bahawa Hanako-san memiliki rambut gaya bob dan menggunakan baju berwarna merah.

Daripada asal-usul Hanako yang pelbagai, ada antaranya yang mengatakan bahawa Hanako-san adalah hantu kanak-kanak yang terbunuh akibat bom pada perang dunia ke-2 ketika dia berada di sekolah.

Namun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa Hanako-san adalah anak kecil yang menjadi mangsa korban kekejaman orang tuanya dan dibunuh di dalam tandas.

2. Hantu Akaname

Akaname yang bererti si Penjilat, adalah hantu Jepun yang dipercayai hidup di dalam tandas dengan cara menjilati kotoran dan debu yang terkumpul.

Hantu ini dikatakan akan muncul dalam bentuk manusia, tetapi kulitnya berwarna merah dan mengelupas seperti orang yang terlalu lama berendam di dalam air panas.

Akaname juga memiliki lidah yang panjang. Cara menghindari ‘Yokai’ ini sangat mudah iaitu membersihkan tandas secara teratur.

Orang Jepun memang pandai mengubah segala sesuatu menjadi comel, bahkan hantu seperti ini pun boleh kelihatan comel.

Dalam manga Neko Musume Michikusa Nikki, Akaname digambarkan sebagai budak lelaki yang mempunyai rambut perang dan berlidah panjang yang suka menjilat-jilat sesuatu.

Bahkan Akaname juga diguna pakai dalam budaya Barat, dalam bentuk buku kanak-kanak bertajuk “The Filth Licker” karya Cristy Burne.

3. Hantu Noppera-Bo

Serangan dan gangguan utama dari Noppera-bo (hantu tanpa wajah) adalah dengan menakut-nakutkan manusia dengan muncul di berbagai tempat, kebiasaannya di dalam tandas wanita.

Selalunya Noppera-Bo akan muncul secara tiba-tiba dengan menunjukkan muka tanpa wajah. Mereka juga kadang-kadang muncul dengan hanya menampakkan mulut dan gigi.

Noppera-bo juga dikenali sebagai ‘Youkai’ antarabangsa yang bermaksud adalah ia adalah hantu (Youkai) yang sangat terkenal di dunia.

Terdapat banyak penampakan Noppera-Bo yang terjadi di Hawaii, di mana mereka lebih dikenali sebagai Mujina.

4. Hantu Aka Manto

Aka Manto yang beerti jubah merah adalah cerita hantu Jepun mengenai roh yang berniat jahat yang menghantui tandas awam dan sekolah, yang akan meminta pengguna tandas jika mereka mahukan jubah merah atau biru.

Aka Manto sering digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat kacak semasa hidupnya dan sentiasa diburu oleh peminat-peminatnya.

Disebabkan itu, beliau kononnya memakai topeng untuk menyembunyikan mukanya.

Mengikut lagenda kisah Aka Manto, jika seseorang itu duduk di dalam tandas (biasanya tandas terakhir), suara misteri akan meminta mereka jika mereka mahukan jubah merah atau jubah biru.

Dalam versi lainnya, Aka Manto kadang-kadang dirujuk sebagai Aoi Manto (Jubah Biru). Jika mereka memilih warna merah, kulit di bahagian belakang mereka akan disiat untuk menyerupai jubah merah.

Jika mereka meminta warna biru, semua darah akan mengalir keluar dari tubuh mereka. Satu lagi versi cerita ini mengatakan bahawa jika mereka meminta jubah kuning, kepala mereka ditolak masuk ke dalam tandas yang baru sahaja mereka gunakan.

5. Hantu Akai Kami Aoi Kami

Seperti Aka Manto, Akai Kami Aoi Kami (bererti Kertas Merah Kertas Biru) juga menakuti mangsanya dengan suara-suara ghaib. Dalam hal ini Akai Kami Aoi Kami akan meminta mangsanya memilih di antara Kertas Biru atau Kertas Merah.

Kedua-dua pilihan tersebut tidak memberi kesudahan yang baik. Dalam beberapa lagenda, jika anda memilih kertas biru maka anda akan dicekik sehingga mati (jadi badan mangsa akan bertukar menjadi biru) atau darah mangsanya akan menjadi mengalir keluar sehingga habis. Memilih kertas merah pula akan meyebabkan leher mangsanya ditoreh atau kulit mangsa disiat-siat.

Jika mangsa kononnya adalah seorang yang pintar dan menjawab apa-apa warna yang lain selain warna merah atau biru, mangsa akan diseret ke neraka. Mengikut beberapa cerita, jawapan terbaik yang boleh diberikan kepada Akai Kami Aoi Kami adalah dengan menjawab warna kuning, jawapan ini hanya akan menyebabkan mangsa dicurahkan dengan air kencing di atas kepala mangsa tetapi mangsa akan terus hidup.

6. Hantu Reiko Kashima

Reiko Kashima adalah lagenda seram Jepun tentang hantu wanita tanpa kaki yang menghantui tandas-tandas sekolah. Reiko Kashima asalnya adalah seorang perempuan yang tinggal di Hokkaido, Jepun.

Pada suatu malam, Reiko telah diserang oleh sekumpulan lelaki. Beliau telah dipukul dengan teruk, didera dan kemudian ditinggal untuk mati. Dia cuba untuk meminta bantuan, namun tiada siapa pun yang peduli. Kemudiannya, dia berjaya merangkak ke atas landasan kereta api di mana dia telah pengsan di situ.Tak lama selepas itu, kereta api datang dan melanggarnya, menyebabkan beliau terkorban dan memotong beliau dalam dua bahagian, badannya terputus pada bahagian pinggang.

Reiko kemudian menjadi hantu yang berdendam dan mencari kakinya yang hilang. Selalunya boleh terserempak dengan Reiko Kashima di dalam tandas sekolah, tetapi dia boleh (dan akan) menjelma dalam tandas anda pada waktu tengah-tengah malam.

Dikatakan bahawa jika anda mendengar tentang Reiko Kashima, kemudian dia akan muncul di dalam tandas anda dalam tempoh sebulan. Jaga-jaga, ada yang memerhatikan anda.

Sumber: Seram Shit

Share.

Leave A Reply