Harga Makanan Di Bazar Mahal Undang Kemarahan Pembeli| Bazar Ramadan merupakan tempat yang paling disukai umat Islam apabila menjelang Ramadan kerana juadahnya yang pelbagai. Namun apa yang mengundang kemarahan pembeli ialah harganya yang dikatakan mahal dan tidak berbaloi menyebabkan sesetengah pembeli tidak berpuas hati.
Kuala Lumpur: Laksa Basi dan bihun sup mahal antara pengalaman yang dikongsikan pengguna yang membeli juadah di bazar Ramadan seperti yang dikongsikan di media sosial pada Rabu.
Menerusi laman Facebook Penduduk Batu Cave, Selayang, Gombak, Rawang, Kepong dan Sentul memaparkan perkongsian oleh seorang pengguna berkenaan pengalamannya yang membeli bihun sup yang dikatakan mahal apabila isi bihun yang hanya diletakkan sedikit dan tidak sampai separuh bekas dijual di bazar Ramadan.
Menerjah ruangan komen di laman Facebook itu, kebanyakan pengguna memberikan pelbagai pandangan berkenaan perkongsian tersebut antaranya pemilik akaun Facebook, Nik Muhamad Kamaruzaman yang kelihatan kurang senang dengan tindakan individu berkenaan menularkan perkara itu di media sosial.
“Tak ada orang paksa beli, kalau rasa mahal jangan beli, masak sendiri habis cerita, nak bising kenapa?” tulisnya di ruangan komen tersebut.
“Sebelum beli tak tanya dulu ke? Ke memang ada plan nak post dalam grup untuk mencari like?” tulis pengguna, Zulhilmi Ahmad Bustami.
Kemudian seorang lagi pengguna Facebook, Lok Chee Wong yang meluahkan kebimbangan mengenai penularan gambar tersebut di media sosial yang berkemungkinan akan menjejaskan rezeki peniaga berkenaan.
“Terdapat banyak pilihan di bazar Ramadan. Orang berniaga bulan puasa ini terpaksa menyediakan makanan dengan perut lapar dan menahan kepanasan dan dahaga di dapur. Oleh itu, apa salahnya membayar lebih sedikit kepada peniaga tersebut.
“Kesianlah peniaga tersebut jika diboikot. Bulan puasa ini kita bukan saja menahan lapar dan dahaga, apa yang dicakap dan ditulis pun kena yang baik-baik. Apa pun selamat berbuka kepada yang berpuasa,” tulisnya di ruangan komen.
Bukan itu sahaja, dalam perkongsian yang sama, terdapat juga komentar yang memihak perkongsian pengadu dengan mengatakan bahawa harga RM6 bagi sebekas mihun sup itu dianggap terlalu mahal.
“Saya meniaga di bazar, kalau sikit macam ini melampau lah, Kalau saya jual RM3 saja,” tulis Miera Deen di ruangan komen.
“Saya pun tadi beli murtabak ayam, murtabaknya nipis sangat harga RM6. Rasanya orang yang berniaga di bazar ini nak pergi Makkah balik hari agaknya, jual makanan tak ikhlas dalam bulan puasa,” luahnya.
Sumber: Sinar HarianĀ