Hormati Hak Orang Lain

| July 5, 2020 | 0 Comments

Hormati  Hak Orang Lain | Assalamualaikum semua, ini adalah kali pertama aku menulis confessions kerana sebelum ini aku lebih suka membaca. Terdetik sedikit rasa untuk aku kongsikan sedikit sebanyak keluhan hatiku yang tidak seberapa ini.

Namaku Sakinah, berumur 30 tahun dan belum berkahwin. Ibubapa ku tidak
menekan sangat mengenai soal jodoh, namun itu bukanlah cerita ku pada
kali ini. Cerita ini lebih kepada kakak dan abang iparku

Aku bersekolah hingga tingkatan 5, cuma punya SPM dan berkerja di sektor
swasta. Rezekiku dikira murah kerna mendapat pekerjaan pada umur 19 tahun.

Pada umurku 22 tahun aku sudah mampu membeli rumah dan kereta. Aku
tinggal bersama-sama kedua orang tuaku. Adik beradikku ramai, tetapi
mereka semuanya tinggal bersama keluarga masing-masing

Dilanjutkan cerita, kakakku dan suaminya menyewa rumah bersebelahan
dengan rumahku. Pada awalnya semua ku rasakan ok sahaja, iyalah.. bila
duduk berjiran dengan keluarga sendiri kan lebih seronok.

Tapi lama kelamaan aku mula rasa rimas. Mana taknya, dapurku dapur
mereka juga. Rumah mereka hanya untuk tidur sahaja. Mereka akan makan
tengahari, minum petang dan makan malam dirumahku.

Memandangkan mereka bukanlah jenis yang suka bangun pagi. Maka terlepas
lah hidangan sarapan dirumahku. Aku lah yang akan masakkan untuk
ibubapaku dan suaminya. Mereka akan datang kerumah bila masa makan
menjelang.

Selepas makan mereka akan duduk-duduk menonton TV hingga larut malam. Oh
ya.. kakakku ini sudah punya anak, dan mereka suami isteri kerja
kerajaan dan berpangkat. Almaklum lah.. lepasan ijazah.

Aku sangat sukakan keselesaan dirumah, maka aku cukupkan rumahku dengan
TV yang besar lengkap dengan home theater dan rangkaian Internet untuk
kegunaan seisi rumah. Kakakku tidak bersetuju kerana baginya bukan
kepentingan dan hanya membazir.

Mana tidak, mereka hanya mengunakan semuanya dirumahku saja. Aku pula
yang terpaksa mencuri-curi masa untuk “me time” menonton movie di tengah
malam selepas mereka pulang. Kadang-kadang sehingga mereka tertidur
diruang tamu pun masih tidak mahu pulang ke rumah sendiri

Oleh kerana mereka tinggal berjiran denganku, mereka menjadi anak dan
cucu kesayangan kedua orang tua. Apa saja harus disediakan. Apa sahaja
mereka diutamakan. Makan minum di hidang, dipelawa, malah orang tua ku
pernah mencuci kereta mereka.

Barang-barang dapur semuanya kami beli. Suaminya langsung tidak terfikir
untuk membeli beras, ikan sedikit pun. Kalau si anak teringin KFC, yang
di beli hanya untuk si anak. Anak-anak buahku yang lain hanya melihat
saja jika mereka singgah kerumah

Ketika dunia diuji dengan wabak Covid-19, pekerjaanku sedikit terkesan.
Tiada bayaran kerja lebih masa, elaun malah syarikat tempat ku bekerja
sudah mula mengurangkan pekerja. Gaji pekerja juga dikurangkan.

Kakak dan suami yang bekerja kerajaan dan tidak terkesan sedikit pun
tidak mengeluarkan belanja. Tapi tanpa segan silu dengan setiap harinya
akan berbuka puasa dirumahku.

Dari sekecil-kecil buah kurma sehingga sebesar-besar lauk pauk semua
dibeli menggunakan duit ku dan kedua orang tua.

Kerja-kerja rumah langsung tidak membantu. Mereka cuma duduk goyang kaki
ketika orang lain sibuk memasak dan mengemas. Bila aku merungut mereka
buat-buat tak faham. Lama kelamaan aku jadi benci dan sudah pandai
menyindir perilaku mereka.

Apa yang ku geram malah orang tuaku memarahiku, “suaminya orang luar,
kita harus layan seperti tetamu”… “Ah… bentakku, sudah empat tahun
mereka berjiran, sampai bila aku harus berkorban, kita harus tegur agar
mereka berdikari” kata-kataku dibiar berlalu begitu saja.

Ibuku tetap memanjakan, memandikan anak, memasak dan membersihkan rumah
mereka tatkala mereka bercuti. Benci sungguh aku melihatnya, bagiku
tiada kesedaran dan tanggungjawab langsung dalam rumahtangga.

Kalau dilihat kehidupan mereka sekeluarga cukup mewah, dua kereta dan
percutian tiap-tiap tahun. Handphone, handbag dan pakaian boleh tahan
jenamanya. Mana tidak, segala keperluan semuanya orang lain yang
tanggung. Aku hanya membayar bil-bil dan keperluan mereka.

Acap kali keadaan rumah semak dan tidak dikemas, ibuku mesti bising dan
marah-marah. Tapi tidak pula pernah dimarahnya kakakku, padahal rumah
semak oleh anak-anaknya. Terkadang aku berfikir, mungkin aku tak pernah
penting baginya.

Mana tidak, tiap kali aku punya urusan diluar, dan minta ditemani, ibu
pasti memberi macam-macam alasan. Bila urusan kakakku, ibu akan atur
masa ku agar aku dapat temani kakakku mengurus urusannya.

Ibu lupa kah.. hanya aku anaknya yang sanggup mengambil cuti untuk
menemaninya ke hospital tiap-tiap temujanji doktor.

Hanya aku yang masuk ke biliknya untuk mencuci tandas, Hanya aku yang
suka membawanya keluar membeli itu ini. Tapi bila tiba hal aku, aku
disuruh berdikari buat semua sendiri

Ketika kalian semua membaca confession ini, rutin harian kami masih
sama. Aku lebih banyak menghabiskan masa dibilikku dan mereka
menghabiskan masa dirumahku sesuka hati. Anak-anak berlari bermain
berteriak tanpa larangan. Apa saja miliku adalah milik mereka.

Sekian coretan ku buat kali ini. Terima kasih kerana kalian sudi
membacanya. Aku doakan agar kita semua diberikan kesedaran dalam
berkeluarga, bersikap matang dan hormat menghormati serta bertolak ansur
dalam menjalani kehidupan.

– Sakinah (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

Tags: , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *