Seram- Ditemani Hantu Musim PKP

| July 5, 2020 | 0 Comments

Seram– Ditemani Hantu Musim PKP 

Aku menyewa sebuah apartment di negeri Pulau Pinang atau dengan lebih tepat lagi di sebelah tanah besar. Di apartment ini, aku tinggal bersama empat orang lagi housemate. Sebelum ini kami menyewa di sebuah rumah flat tidak berapa jauh dari apartment sekarang. Namun apabila mengetahui terdapat sebuah apartment yang mana kadar sewanya hampir setara dengan rumah flat tersebut, kami mengambil keputusan untuk berpindah. Ini disebabkan apartment ini masih baru siap mungkin tak sampai satu tahun. Pastinya lebih bersih dan terjaga.

Kami mula menyewa di apartment ini pada awal bulan Januari 2020. Pemiliknya merupakan seorang pemastautin tetap yang tinggal di Perak. Semasa kami mula masuk, masih banyak unit yang belum orang tinggal. Mungkin hanya setengah daripada keseluruhan unit yang berpenghuni. Apartment ini setinggi 14 tingkat dan mempunyai dua blok. Setiap tingkat mempunyai enam unit rumah. Kami menyewa di tingkat tujuh.

Di tingkat tujuh ini, hanya tiga unit yang berpenghuni. Jiran sebelah kanan rumah aku merupakan pasangan berbangsa Cina berumur mungkin awal 30-an. Mereka hanya tinggal berdua. Manakala seunit yang berada di hujung sekali dihuni oleh sekumpulan pekerja perempuan. Mungkin seramai enam atau tujuh orang.

Empat orang housemate aku yang lain bekerja sekali dalam satu company yang sama. Cuma aku seorang saja yang bekerja di company lain iaitu aku bekerja di sebuah pasaraya dan bertugas di IT department.

Pada bulan pertama kami menyewa, tiada sebarang perkara pelik yang berlaku. Cuma kalau balik lewat malam akan terasa sedikit sunyi sebab penghuni masih kurang. Kadang-kadang tu terasa juga seram sebab naik lif sorang-sorang.

Namun bermula sekitar pertengahan bulan Februari 2020, sesekali akan terjadi perkara yang pelik. Tidak kerap, tapi membuatkan kami kadang-kadang tertanya-tanya dan bingung.

Mula-mula sekali yang terjadi adalah remote TV. Seminggu ada dalam dua kali akan hilang. Selalunya bila bangun pagi, nak buka TV mesti cari remote tak jumpa. Bergaduh kejap sesama kami siapa yang last tengok TV malam tadi. Aku tuduh kau, kau tuduh aku. Lepas tu kena buang masa cari di merata tempat. Akhir sekali jumpa di dalam kasut, di luar balkoni, di atas suis utama rumah dan yang paling tak boleh brain dalam mesin basuh. Nasib baik tak kena basuh sekali dengan baju. Tak pasal-pasal kena beli remote baru.

Lepas tu kunci kereta atau motosikal disorokkan. Dalam rumah ni hanya aku dan seorang lagi housemate aku yang ada kereta. Nak dijadikan cerita, masa kelam-kabut dorang nak pergi kerja, kunci kereta dorang tak jumpa.

Di pintu masuk, ada rak kunci yang mana kami semua akan gantung kunci kat situ. Mudah untuk ambil dan tak hilang. Berpeluh juga dorang mencari merata tempat sambil menyumpah seranah. Siap tuduh aku nak prank dorang. Jadahnya aku nak prank orang pagi-pagi pergi kerja. Dengan aku sekali berpeluh juga pagi tu dok tolong mencari kunci. Akhir sekali terpaksa dorang pinjam kereta aku. Aku pula pinjam motosikal dorang untuk pergi kerja.

Dah balik kerja, elok pula kunci kereta dorang tergantung di rak kunci. Remote TV hilang kira okay lagilah. Bolehlah kata nak prank kawan-kawan. Ni bila dah melibatkan hal kerja, memang tak sedaplah.

Seminggu lepas tu, kunci kereta aku pula hilang. Masa tu aku syif petang, sorang-sorang berlecak ketiak mencari kunci. Tak jumpa-jumpa juga dan aku sekali lagi kena pinjam motosikal housemate aku ke tempat kerja. Dah la hujan. Baju hujan pun tak ada. Hangin je aku.

Lepas kunci kereta aku hilang dan dijumpai elok tergantung di rak kunci, malam keesokan harinya waktu makan di luar kami pakat berborak yang rumah tu ada something. Seorang housemate aku mula buka cerita yang di bilik yang dia duduk seorang, dia selalu terdengar bunyi ketukan di dinding.

Selalunya dia akan terjaga sekitar jam dua atau tiga pagi akibat ketukan tu. Tilam yang dia tidur betul-betul tepi dinding yang berkongsi dengan rumah sebelah. Ketukan tu macam orang tumbuk dinding daripada rumah sebelah. Tiga kali ketukan. Senyap. Tiga kali ketukan. Senyap. Begitulah berulang-ulang sampai dia tertidur semula. Yang jadi masalahnya rumah sebelah tu mana ada penghuni.

Malam tu juga bila balik dari gerai makan, kami sekodeng rumah sebelah. Memang sah tak ada orang tinggal. Dengan lantai nak masuk rumah pun berhabuk dan penuh tahi cicak. Rumah atas kami juga tiada penghuni. Cuma rumah bawah menyala lampu ruang tamu menunjukkan ada orang tinggal. Kami menyedapkan hati bahawa orang rumah bawah suka bergendang jam tiga pagi. Tak mampu menghilangkan keresahan, tapi kami terpaksa buat-buat cool.

Akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pertama tiba. Ini merupakan permulaan hidup aku yang diselubungi misteri. Terkurung bersama mambang tak diundang selama hampir dua bulan. Ada banyak gangguan cuma aku pilih beberapa gangguan yang dirasa lebih pelik dan menyeramkan.

Apabila PKP diumumkan, empat orang housemate aku mengambil keputusan untuk lari pulang ke kampung halaman masing-masing. Dorang work from home. Kampung kami semua tak jauh pun, tak sampai sejam. Aku pula kena kerja macam biasa sebab termasuk dalam essential service. Cuma waktu kerja berubah sedikit kerana pasaraya dibuka dan ditutup awal. Setiap minggu akan berselang syif pagi dan syif petang. Manakala ada hari yang aku bekerja syif penuh kerana penggiliran cuti staf department aku.

Sebelum dorang balik, masing-masing dok mengusik yang aku akan tinggal dengan momok. Tersenyum kelat je lah aku. Siap mencadangkan aku tinggal je kat pasaraya tu. Jangan balik rumah sampai PKP berakhir. Sepanjang tinggal di apartment ini, tak pernah seorang pun daripada kami bermalam berseorangan. Kalau ada yang balik kampung, mesti sekurang-kurangnya dua orang yang tinggal di sini.

Malam pertama aku tinggal berseorangan, tiada apa yang pelik. Aku tidur awal. Tapi keadaan apartment memang menjadi semakin sunyi sebab ramai penghuni yang dah lari balik ke kampung. Orang dah larang balik, tetap berdegil nak balik. Tak ikut saranan kerajaan betul!

Malam kedua aku mula diganggu. Aku syif petang dan tiba di rumah sekitar waktu senja. Masa aku tengah nak mengunci grill rumah, terdengar bunyi tapak kaki berlari laju dari arah hujung iaitu bermula dari rumah geng perempuan menyewa menuju ke arah rumah aku dan terus senyap bila menghampiri rumah aku.

Aku terfikir mungkin ada kecemasan menyebabkan aku membuka kembali grill dan menjenguk keluar. Langsung tak ada apa-apa. Aku membuat kesimpulan mungkin bunyi itu dari tingkat lain. Tapi berdasarkan bunyi tapak kaki yang sangat jelas dan dekat, aku rasa macam betul-betul ada orang berlari di koridor tingkat aku.

Malam itu ketika betul-betul aku dah lalok nak tidur, aku diganggu dengan beberapa siri ketukan dari tingkat atas. Bunyi macam diketuk dengan hujung kayu mop. Macam tu la lebih kurang bunyinya. Aku tak terfikir sangat pasal momok ke apa sebab dah mengantuk sangat. Aku tekup telinga dengan bantal dan tidur. Bunyi ketukan ini boleh dikata hampir setiap malam akan berlaku. Tak kira waktu. Kadang-kadang awal. Kadang-kadang tengah tidur awal pagi sampai membuatkan aku terjaga.

Ada satu malam tu masa aku tengah makan mee segera sambil tengok drama di TV, pintu rumah aku diketuk. Agak bertalu-talu macam tengah kelam-kabut atau suruh buka cepat-cepat. Pelik juga aku sapa yang ketuk malam-malam. Tak mungkin jiran Cina sebelah ni sebab dorang pun balik kampung sejak awal PKP hari tu.

Tapi bila aku nak pulas tombol, baru aku terfikir macam mana orang tu ketuk sebab jarak antara grill dengan pintu kayu rumah ni cukup jauh membuatkan tangan orang tak sampai nak ketuk. Lagipun rumah ni ada loceng buat apa susah-susah ketuk. Aku tak jadi buka.

Aku terus ke tingkap dapur untuk menjenguk. Dari arah tingkap dapur ni boleh nampak pintu depan rumah. Tiada siapa. Sunyi je. Meremang bulu roma aku.

Di hari yang lain, aku pulang daripada syif pagi. Lepas makan, aku berehat depan TV dan tertidur sekitar jam empat petang. Aku terjaga kembali ketika pukul tujuh malam. Keadaan dah samar-samar masa tu. Yang memeranjatkan adalah aku terjaga dalam bilik housemate aku. Padahal tadi aku tidur di ruang tamu. Menggelabah aku bangun buka suis lampu.

Kecoh group Whatsapp rumah aku malam tu. Semua gelakkan aku sebab kena alih tempat tidur. Ada yang menyakat jangan kena alih tidur sampai ke dalam rumah jiran geng perempuan. Kena tangkap khalwat nanti. Hampeh! Aku tengah ketakutan, dorang boleh menyakat aku.

Ada suatu petang, masa tu aku tengah berak. Tiba-tiba terdengar orang batuk. Kemudian berdehem beberapa kali. Bunyi tu memang betul di luar pintu tandas je. Menggelupur aku dalam tandas takut nak keluar. Risau bila buka pintu terus kena sergah. Lama aku berkurung sampai naik kebas paha aku. Berpeluh habis badan.

Akhirnya aku buat keputusan nak keluar juga. Sampai bila nak duduk atas jamban . Dengan getah paip di tangan, aku buka pintu laju-laju. Kalau kena sergah akan aku sembur dengan air paip ni. Nasib baik tak ada apa-apa. Terus aku tak mandi hari tu sampai esok pagi. Takut punya pasal.

Sejak hari itu, aku berak dan mandi laju-laju. Tak tutup pintu. Fobia habis. Kadang-kadang aku berak siap-siap di pasaraya sebelum pulang ke rumah.

Kalau tak silap masa PKP Fasa 3, momok rumah ni dah pandai main suis. Dah advance. Sejak PKP Fasa 1, malam-malam aku akan buka semua lampu. Lantaklah bil letrik nak melambung, janji aku kurang seram. Tapi sejak momok ni suka main suis, aku dah letih nak ulang-alik buka kembali suis yang ditutup.

Mula-mula terjadi pada waktu malam sekitar jam sembilan lebih. Aku tengah layan Facebook di ruang tamu. Tiba-tiba bunyi suis dipetik. Tengok lampu dapur dah padam. Aku mula-mula fikir lampu kalimantang tu dah rosak. Bila check, rupanya suis ditutup. Aku buka kembali.

Kemudian bunyi suis lagi. Kali ni lampu bilik pula terpadam. Terpaksa aku bangun buka kembali.

“Hang dah pandai main suis pulak ye…”

Selamba je aku tegur. Letih la kalau asyik kena bangun ulang-alik nak buka suis.

Kemudian TV yang tertutup boleh tiba-tiba terbuka. Siap iklan tengah tunjuk iklan seram. Melompat aku tutup suis pada extension wire. Dahlah tengah takut, tunjuk pula iklan seram. Terus aku rasa saluran TV patut diharamkan untuk menyian iklan seram pada waktu malam. Sebabnya sangat tak sesuai ditonton oleh orang-orang penakut macam aku ni la. Cerita hantu pun tayang siang hari sudahlah. Kau setan ke apa tengok cerita hantu malam-malam? Tak takut?

Beberapa hari sebelum mula bulan puasa, ketika ini gangguan makin mengusutkan otak dan akal fikiran aku.

Hari itu dan keesokan harinya merupakan off day aku. Sepanjang hari melepak je di rumah. Kejap dalam bilik, kejap tergolek di ruang tamu, kejap duduk depan koridor rumah tunggu gadis-gadis jiran balik kerja.

Malam tu dah agak lewat, tengah aku sedap tengok saluran RTM sebab RTM tak ada iklan seram tiba-tiba sliding door di balkoni bergegar macam ada sesuatu yang melanggar atau menampar. Sliding door tu memang tiap-tiap malam aku buka untuk bagi angin masuk. Aku check langsung tak ada angin yang bertiup dan tak ada burung atau apa yang melanggar.

Bila aku berpusing kembali nak masuk ke ruang tamu, tiba-tiba lampu dapur terpadam. Sekali imbas aku nampak bayang-bayang putih yang samar berdiri menunduk dengan rambut panjang di ruangan dapur. Sekejap je terus hilang.

Menggeletar terus lutut aku masa tu. Nak berdiri pun dah goyang. Aku capai telefon terus call housemate aku. Sambil nak nangis aku minta dia teman aku buka lampu dapur. Walaupun terasa macam bodoh minta teman dari jauh, sekurang-kurangnya aku tak rasa sunyi sangat dengar suara orang lain. Cepat-cepat aku buka lampu dapur dan kemudian berlari tidur di ruang tamu.

Itulah first encounter aku dengan momok dalam rumah ini. Berjantina betina rupanya.

Sejak awal gangguan hari tu, bukan aku tak nak tumpang tidur rumah staf office aku yang lain. Masalahnya dorang semua dah berkahwin. Dah senior. Aku paling junior dalam department aku. Seganlah nak minta tumpang dengan alasan ada hantu dalam rumah. Jatuh saham aku.

Dua hari sebelum puasa, aku kena ganggu waktu tidur. Aku tidur di ruang tamu dengan lampu semua terbuka. Tiba-tiba aku rasa macam orang mencuit lengan aku. Macam mak-mak kejut bangun tidur. Berkali-kali cuit sampai aku terjaga.

Bila aku buka mata, rumah bergelap. Semua lampu dah tertutup. Tiba-tiba bunyi ketawa seakan mengilai. Sekali sahaja mengilai, bunyi sayup-sayup dari arah sliding door balkoni. Pintu balkoni tu memang aku tak tutup sebab nak bagi angin sejuk bertiup masuk. Spontan aku berpusing, ternampak momok yang sama tengah terapung di udara di luar balkoni. Bergentayangan. Sekejap saja dia tunjuk rupa terus menghilang macam terbang ke atas. Mata aku terus rasa berpusing dan pandangan rasa macam nak makin gelap. Rasa nak pengsan.

Menggeletar seluruh tubuh aku. Badan dah mula berpeluh. Jantung berdegup sangat laju. Nak nafas pun terasa tak lepas. Terus aku mengerekot tidur sambil tutup kepala dengan bantal. Segala doa yang terlintas terkumat-kamit aku baca.

Esoknya badan aku terasa lesu. Rasa hilang semangat. Kerja pun rasa lembik tak bermaya.

Balik dari kerja, aku singgah di pondok guard. Dengan mata yang bergenang aku cerita kat guard warga Nepal tentang rumah aku yang ada hantu.

“Kalau abang takut, malam abang tidur sini guard pondok. Saya bolih timan. Kawan saya pun bolih timan abang. Sikarang abang tulis number telefon saya. Kalau takut, abang call sama saya satu kali. Saya tirus naik atas. Abang jangan takut abang. Kalau abang lagi takut, itu hantu lagi ada kuat kasi kacau kita.”

Bila difikirkan, ada betulnya apa yang guard Nepal tu cakap. Kalau kita makin takut, makin seronok hantu tu nak kacau. Makin menjadi-jadi pula sejak aku jadi semakin takut sekarang. Aku cuba kuatkan semangat.

Aku berharap sangat PKP tidak dilanjutkan ke Fasa 4 supaya housemate aku segera balik ke sini. Sejak momok tu dah tunjuk rupa dia, aku rasa sangat gelisah tiap kali pulang ke rumah.

Namun, PKP tetap dilanjut ke Fasa 4. Aku pasrah.

Dalam bulan puasa ini ada lagi beberapa siri gangguan yang lain. Antaranya ketika aku berjalan di koridor, aku nampak bayang hitam laju masuk ke rumah jiran aku. Bunyi ketukan tetap berterusan. Suis lampu tetap terpadam sendiri. Nama aku dipanggil pun beberapa kali terjadi.

Cerita pasal nama aku dipanggil ni memang cukup menyeramkan. Nada suara tu halus dan mendayu-dayu. Sayup-sayup macam angin lalu. Sekejap bunyi jelas, sekejap macam jauh putus-putus. Debarnya jangan pernah cakap. Nasib baik aku tak pernah menyahut panggilan tu.

Momok betina itu juga beberapa kali menunjukkan rupanya. Selalunya sewaktu aku terjaga tidur di tengah malam. Modus operandi dia sama je. Tunjuk sekejap, terus menghilang. Siap hilai tawa sayup-sayup.

Kalau aku mengaji atau baca Yasin terutama pada malam Jumaat, tengah malamnya mesti makin kuat dan rancak bunyi ketukan. Macam marah.

Pernah dua kali semasa aku sedang solat Isyak, mata aku pandang tempat sujud, tapi dari ekor mata aku dapat melihat momok betina tu berlegar di luar tingkap bilik.

Lepas tu terus aku solat betul-betul depan dinding. Namun aku dapat rasakan macam ada mata yang memandang aku. Mungkin perasaan aku sahaja, atau mungkin juga memang betul-betul ada yang memandang.

Guard Nepal pun tiap-tiap malam dia akan meronda di tingkat aku. Sebelum datang dorang akan call dulu, kemudian dorang akan bertanya khabar aku. Aku ada ajak dorang tidur rumah aku. Tapi dorang tolak. Takut bos marah. Kawan aku kat sini sekarang dorang je la. Kalau aku balik kerja, aku akan lepak dulu sekejap kat pondok guard dengan jarak selamat satu meter atau lebih. Sesekali kalau aku beli juadah berbuka puasa, aku akan bungkus air atau kuih untuk dorang sekali.

Aku dah minta housemate jumpa ustaz untuk dapatkan air penawar dan tanya apa-apa langkah yang patut kami buat nanti untuk “cuci” rumah ni. Rumah ni dah teruk sangat gangguannya.

Doakan aku dapat bertahan harungi PKP ni sampai housemate aku balik semula…

**Nota: Terima kasih kepada sahabat penyumbang isi cerita ini. Terus tabah!

-TAMAT-

Kredit : Fiksyen Shasha

Tags: , , ,

Category: Uncategorized

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *