India Catat Lebih 3,000 Kes Kematian Sehari Angkara Covid-19 | Tsunami Covid-19 yang melanda India seolah tidak nampak jalan penghujung apabila ia mencatatkan kematian tertinggi sekaligus menyebabkan peningkatan angka kematian dunia.
New Delhi: India merekodkan kes kematian sebanyak 3,650 akibat dari Covid-19 hari ini, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 350 kes berbanding hari sebelumnya, menurut Kementerian Kesihatan.
Angka terbaharu itu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 204,832, walaupun kebanyakkan pakar mengesyaki jumlah sebenar kematian adalah lebih tinggi.
Negara berkenaan berdepan gelombang jangkitan baharu dengan hampir 380,000 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Malah, India merekodkan tambahan lebih enam juta kes baharu COVID-19 pada bulan ini.
Gelombang jangkitan terkini didakwa berpunca daripada varian baharu selain acara besar-besaran membabitkan keagamaan dan politik sekaligus menyebabkan hospital dipenuhi pesakit, kekurangan ubat-ubatan, katil dan oksigen.
Sementara itu, Ketua Penasihat Saintifik kerajaan, K Vijay Raghavan dalam temubual bersama media tempatan mengakui kerajaan seharusnya lebih bersedia berdepan gelombang kedua.
Katanya, ketika gelombang pertama berlaku, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan pusat dan negeri dalam menyediakan kelengkapan hospital dan infrastruktur kesihatan, namun persedian itu menurun bersama dengan gelombang pertama.
Tambahnya, bagaimanapun tidak mungkin dapat meningkatkan kemampuan sistem kesihatan awam dalam tempoh setahun ke tahap yang mencukupi untuk mengatasi apa yang dilihat pada ketika ini.
Krisis kesihatan disebabkan COVID-19 yang meruncing dapat dilihat di New Delhi, dengan hospital menjadi sesak malah ada pesakit meninggal dunia di luar bangunan hospital.
Sumber: Berita Harian