Isu Saham: Ini Tindakan Azam Baki Untuk Membersihkan Namanya.

| January 12, 2022 | 0 Comments

Isu Saham: Ini Tindakan Azam Baki Untuk Membersihkan Namanya. | PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memfailkan tuntutan saman terhadap bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam, berhubung penerbitan artikel di portal Independent News Service (INS) pada 26 Okt dan 15 Dis tahun lalu.

Isu Saham: Ini Tindakan Azam Baki Untuk Membersihkan Namanya.

Peguamnya Megat Abdul Munir, berkata tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Megat berkata, keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas Lalitha gagal memberi sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan (LOD) bertarikh 6 Jan lalu.

“Dia (Lalitha) menerusi peguam sebaliknya mengeluarkan kenyataan di Twitter, dengan menyatakan bahawa beliau kekal terhadap dakwaan seperti dalam penerbitan artikel yang anak guam kami berulang kali tegaskan ia adalah suatu tuduhan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Azam memfailkan saman untuk menjaga nama baik, reputasi dan kedudukan profesionalnya.

Katanya, Azam hanya menggunakan haknya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan, untuk mencari penyelesaian bersesuaian di mahkamah.

“Anak guam kami percaya bahawa ini juga memberi hak dan peluang yang sama kepada defendan untuk mengesahkan dakwaannya, berbanding sekadar menggunakan perbicaraan menerusi media,” katanya.

Megat juga berkata, Azam tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit dan menaruh kepercayaan terhadap sistem kehakiman di Malaysia bagi mengendalikan perbicaraan secara seadilnya.

“Anak guam kami sekali lagi menegaskan bahawa SPRM komited untuk melindungi pemberi maklumat yang tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Azam terpalit dengan isu pemilikan jutaan saham dan waran syarikat tersenarai awam semasa beliau menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Pada sidang media sebelum ini, Azam menjelaskan pembelian itu dibuat oleh adiknya Nasir dengan menggunakan akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Azam menegaskan, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Sekuriti yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.

Sumber: FMT

Tags: , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *