Isu Tular Kanak-Kanak Maut Sebab Vaksin Covid-19. Ini Penjelasan Sebenar | SUNGAI PETANI: Keluarga kepada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam otak, kesal dengan tindakan segelintir pihak mengaitkannya dengan suntikan vaksin COVID-19.
Mohd Akmal Md Zain, 37, bapa kepada Muhammad Aniq Hadif, 10, berkata beliau dikecam kononnya membawa anaknya itu mengambil suntikan vaksin COVID-19 hingga meninggal dunia.
Hakikatnya, beliau mengesahkan arwah anaknya belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Katanya, kaitan kematian dengan suntikan vaksin itu turut ditular individu tidak bertanggungjawab dan menjadi topik perbincangan di media sosial hingga membuatkan keluarganya dikecam.
“Ada orang yang tidak dikenali menghubungi dan memarahi saya dengan kata-kata kesat kerana membenarkan anak divaksin.
“Semua itu fitnah kerana arwah anak saya belum menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Akmal mengakui amat tertekan dengan tuduhan yang ditularkan di media sosial berhubung kematian anaknya yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19.
Justeru, beliau meminta pihak terbabit berhenti menularkan cerita tidak benar dan akan mengambil tindakan lanjut jika ia berterusan.
Masih bersedih dengan pemergian anak sulung daripada tiga beradik itu, beliau turut tertekan kerana sibuk menguruskan anak kedua, Nur Hani Humaira, 8, yang masih menerima rawatan di hospital akibat sawan.
“Saya tidak faham mengapa ada yang memfitnah keluarga kami… saya tidak tahu apa yang mereka mahukan tanpa memikirkan perasaan keluarga kami,” katanya.
SUMBER : Berita Harian