JIJIK. Bekas Simpan Cili Kisar Penuh Anak Lipas | GEORGE TOWN – Empat buah premis makanan di daerah Timur Laut iaitu dua restoran di Jalan Utama dan dua lagi di Tanjung Bungah di sini diarah tutup selama dua minggu ekoran beroperasi dalam persekitaran yang kotor.
Selain keadaan persekitaran dapur yang tidak terurus, restoran-restoran tersebut juga umpama sarang pembiakan lipas memandangkan haiwan perosak itu didapati di merata-rata lokasi termasuk di lantai restoran serta bekas penutup makanan.
Malah, di sebuah restoran di Jalan Utama turut ditemui lebih puluhan ekor anak-anak lipas berkeliaran di tempat penyimpanan cili kisar yang dipercayai akan digunakan sebagai bahan masakan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani berkata, tindakan penutupan selama 14 hari dikenakan kepada pemilik-pemilik restoran berkenaan agar mereka melakukan penambahbaikan terhadap kebersihan di premis masing-masing.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah terdapat lipas serta tikus di restoran ini dan keadaan persekitaran di dapur tidak diuruskan dengan baik.
“Premis-premis ini telah diarah tutup selama 14 hari bagi memastikan pemilik melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh dan mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya selepas menjalankan operasi di Jalan Utama di sini hari ini.
Tambah Bawani, ada di antara premis-premis tersebut pernah diberikan notis dan kompaun oleh MBPP sebelum ini kerana beroperasi dalam persekitaran yang kotor.
SUMBER : Kosmo!