Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, sebagai tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.
Dalam satu kenyataan awal pagi ini, JPA memaklumkan KPPA, menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya pegawai bernama James Lee berikutan ketidakpatuhan amalan dan prosedur apabila pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.
Kenyataan itu menyebut, delegasi terbabit diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan Kastam untuk meneruskan perjalanan.
“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi udang-undang.
“Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya.
Selain itu, JPA menegaskan bahawa teguran itu tidak dibuat di khalayak ramai.
Sebaliknya, kata jabatan itu, KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.
Katanya, KPPA turut mengesyorkan supaya pihak Imigresen di KLIA perlu meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen.
Berikutan itu, JPA amat kesal dengan kenyataan-kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Dakwaan berhubung tindakan seorang pegawai tertinggi kerajaan dengan seorang pegawai Imigresen itu mulai tersebar di media sosial semalam, melalui satu mesej yang dikatakan daripada Ketua Pengarah Imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kemudian dilaporkan mengesahkan kejadian yang tular itu tetapi mengakui tidak tahu punca sebenar.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan sudah memberi arahan kepada Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dalaman susulan kejadian itu.
Sumber : BH