Jika Rakyat Kelantan Mahu Royalti Minyak, Tewaskan PAS-Zaid. | PETALING JAYA: Rakyat Kelantan berpeluang menikmati royalti minyak daripada kerajaan pusat sekiranya pentadbiran PAS di Kelantan ditewaskan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Zaid Ibrahim.

Jika Rakyat Kelantan Mahu Royalti Minyak, Tewaskan PAS-Zaid.

Bekas menteri itu yakin sekiranya Umno kembali berkuasa di Putrajaya, royalti minyak akan dibayar kepada Kelantan dan beliau sendiri telah menyerahkan cadangan bagaimana industri minyak dan gas boleh dibangunkan di negeri itu kepada kepimpinan Umno.

Katanya, pilihan raya kali ini menyaksikan pertambahan seramai 25,000 pengundi baharu susulan pengenalan Undi18, sekali gus mampu memberi kejutan besar jika peratusan keluar mengundi tinggi.

“Isu utama yang rakyat Kelantan perlu beri lebih perhatian kali ini ialah soal tuntutan royalti minyak terhadap Petronas dan kerajaan pusat. Tuntutan sebanyak 5% daripada hasil minyak dan gas sejak 1975 melibatkan anggaran lebih RM20 bilion kepada dana rakyat Kelantan.

“Ini adalah jumlah besar yang kerajaan pusat terhutang kepada rakyat Kelantan. Royalti ini adalah berasas kepada perjanjian antara pusat dan negeri Kelantan pada 1975 yang sahih. Sebab itu kita tidak faham mengapa PAS menarik balik tuntutan ini daripada dibicarakan di mahkamah hanya kerana kerajaan pusat memberi RM400 juta sedangkan hak kita lebih daripada itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya Umno mengambil alih kerajaan negeri itu, satu syarikat petroleum akan ditubuhkan di negeri itu sekali gus memberi ribuan peluang pekerjaan kepada anak muda Kelantan.

“Hanya dengan memperolehi wang daripada Petronas itu barulah kita dapat membangunkan negeri Kelantan. Kita boleh bekal kepada rakyat air bersih yang cukup. Kita boleh menyediakan kilang untuk memberi pekerjaan kepada anak muda.

“Kita boleh sediakan industri minyak yang besar seperti di Sarawak dengan hasil yang mereka perolehi lebih RM5,000 juta setahun itu dapat memperbaiki sekolah, menyediakan perumahan yang cukup dan membina hospital di daerah yang sesuai untuk menolong rakyat di pedalaman,” katanya.

Jelasnya, Sarawak berjaya membuat tuntutan royalti kerana mereka bersatu sehingga kerajaan pusat bersetuju dengan tuntutan rakyat mereka.

“Pemimpin Kelantan sebaliknya hanya berpuas hati bila mereka dapat jadi menteri dan ada Vellfire atau Alphard. Mereka tidak peduli terhadap kemiskinan rakyat.

“Sudah sampai masanya pengundi Kelantan mencari jalan untuk keluar daripada keadaan yang terseksa sekarang,” katanya.

Zaid berkata, sejarah membuktikan hanya PAS atau Umno sahaja yang mampu menembusi hati pengundi negeri Pantai Timur itu.

“Tidak ada pihak lain yang akan berjaya. Kali ini PAS dan rakan-rakan baharu mereka cuba menggambarkan pemimpin Umno rakus dan penuh dengan rasuah. Ada yang dibawa ke mahkamah. Saya ingin ingatkan pengundi, yang dibawa ke mahkamah belum lagi selesai proses pengadilannya, jadi tunggulah dulu sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka,” tegasnya.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply