Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat tiga negeri merekodkan penggunaan katil di wad Unit rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit COVID-19, melebihi 50 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan katil ICU paling tinggi dicatatkan di Johor iaitu 32 daripada 46 katil yang dikhaskan untuk kes COVID-19 kini sudah diisi.
Selain itu, menurutnya, Kuala Lumpur sudah menggunakan 65 peratus daripada keseluruhan 26 katil ICU yang diperuntukkan kepadanya untuk merawat pesakit COVID-19 serta Melaka merekodkan 50 peratus pengisian daripada jumlah keseluruhan 24 katil di wad berkenaan.
Bagi katil bukan ICU, terdapat empat negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Selangor dengan 104 peratus, Perlis (101 peratus), Kelantan (96 peratus) dan Perak (91 peratus).
Katanya, selain itu lima negeri lagi merekodkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu masing-masing 82 peratus di Putrajaya dan Johor, Sabah (79 peratus), Kuala Lumpur (77 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).
Jelasnya lagi, untuk penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, terdapat enam negeri merekodkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Selangor dengan 74 peratus, masing-masing 58 peratus di Perak dan Terengganu, Sabah (57 peratus), Melaka (53 peratus) dan Kelantan (50 peratus),” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut meningkat kepada 139 pesakit serta peratusan penggunaan alat berkenaan adalah sebanyak 36 peratus.
Tambahnya, secara keseluruhannya, KKM mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19. Namun begitu, setiap negeri sudah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes.
Sumber: Berita Harian